KONTINJEN negara mengulangi pencapaian pingat emas di Busan, Korea Selatan pada 2002 dengan pencapaian enam emas. FOTO Bernama
KONTINJEN negara mengulangi pencapaian pingat emas di Busan, Korea Selatan pada 2002 dengan pencapaian enam emas. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Penyertaan kontinjen negara selepas pasca Covid-19 dengan pencapaian enam emas, lapan perak dan 18 gangsa boleh disifatkan sebagai memuaskan dengan jumlah keseluruhan yang diraih iaitu 32 pingat membabitkan penyertaan 289 atlet dalam 22 daripada 40 jenis sukan.

Ia sekali gus melebihi sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meraih 27 pingat tanpa mengira warna.

Kemenangan atlet karate, Muhammad Arif Affifuddin Abdul Malik pada hari kedua terakhir temasya melengkapkan kutipan pingat negara.

Tidak cemerlang tapi tidak juga mengecewakan kerana kita mengulangi pencapaian pingat emas di Busan, Korea Selatan pada 2002 dengan pencapaian enam emas, lapan perak, 16 gangsa.

Namun gagal mengatasi pencapaian pada edisi ke-18 di Jakarta-Palembang apabila kontinjen negara meraih tujuh emas, tiga perak dan 16 gangsa.

Pencapaian terbaik kontinjen negara adalah di Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan meraih sembilan emas, 17 perak, 17 gangsa dan menamatkan saingan di berkedudukan tempat ke-10 keseluruhan.

Tampak atlet negara terus bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik mereka sebelum dunia pulih daripada serangan virus Covid-19. Antara sukan yang paling ketara dipersoalkan adalah terjun, hoki lelaki dan badminton.

Terjun meraih satu perak dan empat gangsa dengan Datuk Pandelela Rinong masih kekal sebagai penyumbang utama apabila menghadiahkan dua gangsa dalam acara 10m terjun seirama dan individu.

Gandingan Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri pula cemerlang menghadiahkan perak dalam acara 3m papan anjal seirama tapi persoalan mula timbul selepas Yan Yee yang kini berusia 30 tahun memutuskan untuk menamatkan kariernya sebagai penerjun negara.

Hoki lelaki mensasarkan emas namun tergelincir dari sasaran apabila sekadar menghuni tempat keenam.

Sementara dalam aksi badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyelamatkan maruah kem badminton negara dari pulang dengan tangan kosong apabila meraih gangsa.

Begitu kejayaan kem olahraga menyumbangkan tiga gangsa dengan pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi muncul pelari ketiga terpantas Asia menamatkan penantian 41 tahun dalam acara reben biru, Shereen Samson Vallabouy (400m) dan 4x100m kembali mengangkat sukan itu.

Kontinjen negara harus berterima kasih kepada skuasy yang sentiasa menjadi penyumbang utama namun harus diingat ia tidak dipertandingkan di Olimpik.

Justeru ke mana hala tuju sukan negara ketika ini, tatkala hanya dua acara Olimpik iaitu ekuestrian dan pelayaran menjelmakan pingat emas menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuastrian).

Begitupun usia penyumbang emas dalam ekuastrian, Qabil menjadi persoalan adakah dia akan meneruskan kerjaya bersama kuda kesayangannya, Rosenstolz yang menelah kos yang tinggi.

Persatuan Equestrian Malaysia (EAM) sendiri sudah membelanjakan kos sebanyak RM 100,000 untuk membawa kuda Qabil, dari Eropah ke China untuk bersaing di Sukan Asia Hangzhou 2022 namun ianya berbaloi apabila Qabil menghadiahkan emas buat negara.

Manakala Nur Shazrin mengharapkan lebih banyak pendedahan diberikan kepadanya terutama latihan di luar negara selepas layak ke Olimpik Paris secara merit atas tiket juara Asia.

China terus melebarkan sayap penguasaan tanpa langsung memberi belas ehsan dengan pencapaian 200 emas, 111 perak dan 71 gangsa dengan jumlah kutipan pingat yang diraih 382.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 2:32 PM