IRUAN akan bekerjasama dengan persatuan tinju Thailand untuk latihan petinju negara di luar negara.
IRUAN akan bekerjasama dengan persatuan tinju Thailand untuk latihan petinju negara di luar negara.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Skuad tinju negara bakal mendapat jurulatih baharu dan lebih banyak perlawanan pendedahan di luar negara dalam usaha mengangkat semula sukan itu di Malaysia.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli berkata, perancangan itu dibuat bagi membolehkan petinju negara mendapat lebih banyak ilmu seterusnya mampu mengorak langkah lebih jauh lagi.

"Mungkin selepas ini akan ada jurulatih baharu, kita akan menghantar atlet seperti Mohd Aswan Che Azmi dan Muhammad Abdul Qaiyum Arifin dan mereka yang berbakat menjalani latihan ke luar negara.

"Saya sudah berbincang dengan presiden persatuan tinju Thailand, hubungan kami rapat dan saya cuba bekerjasama dengan mereka.

"Thailand melahirkan ramai atlet yang beraksi ke Olimpik dan mereka sanggup bekerjasama dan nanti kita akan hantar Qaiyum ke Thailand, ikut pasukan tinju Thailand berlatih di luar negara.

"Mungkin akan menghantar petinju ke Kazakhstan atau India," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan Qaiyum di Sukan Asia ke-19 kali ini, beliau berkata, corak Qaiyum bertinju sudah bagus cuma lawannya Deepak (India) cukup berpengalaman.

Pada perlawanan pusingan kelayakan lelaki 46-51 kilogram (kg), hari ini, Qaiyum tewas kepada petinju India itu 5-0.

Kini kem tinju mengharapkan Aswan untuk beraksi dengan baik dalam kategori lelaki 63.5-71kg, apabila dijadual menentang petinju Kuwait, Ali Taher esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:16 PM