MONTEIRO (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada petinju negara dalam lawatan ke Pusat Latihan Tinju di MSN Nilai, petang tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
MONTEIRO (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada petinju negara dalam lawatan ke Pusat Latihan Tinju di MSN Nilai, petang tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) merancang membawa dua petinju negara menjalani latihan intensif di Korat, Thailand, sebagai persiapan terakhir sebelum bertarung di Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Setiausaha Kehormat PTM, Mohd Shamsul Deran berkata, dua petinju berkenaan adalah Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, 21, bagi kategori 48 kilogram (kg) dan Sheikh Rahmatullah Ibrahim, 21, (54 kg).

Katanya, latihan intensif selama tiga minggu itu dijangka akan bermula Isnin ini yang diyakini dapat memberi impak positif terhadap prestasi petinju sebelum mereka menggalas cabaran negara ke temasya berprestij itu.

"Selama menjalani latihan di Thailand, petinju kita akan berlatih dengan rakan sepelatih dari negara itu dan beberapa negara lain yang tidak menyertai Sukan Komanwel.

"Kita yakin dan percaya, latihan intensif itu nanti dapat membantu meningkatkan prestasi mereka dan berupaya mempamerkan persembahan mantap di Birmingham 2022 nanti.

"Ini seiring dengan sasaran yang kita letakkan iaitu mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna dari temasya itu dan kita mahu pastikan mereka lebih bersedia pada saat akhir," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Timbalan Chef De Mission (CDM) ke Birmingham 2022, Gerard Monteiro, yang melawat persiapan petinju di Pusat Latihan Tinju Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, petang ini.

Menurut Mohd Shamsul, walaupun kedua-dua atlet muda itu kali pertama beraksi di temasya berkenaan, mereka diyakini dapat mempamerkan persembahan mantap dalam misi mendapatkan keputusan positif.

Katanya, sasaran mereka adalah layak ke separuh akhir untuk memastikan misi meraih pingat boleh dicapai.

Sementara itu, Gerard berkata, tinju antara acara sukan yang disasarkan untuk menyumbang pingat buat kontinjen negara.

"Kita berharap petinju yang dipilih dapat menggalas cabaran dengan baik," katanya yang berpuas hati dengan persiapan latihan kedua-dua petinju terbabit.

Bagi Abdul Qaiyum, persiapannya sudah mencapai hampir 90 peratus dan yakin bakinya akan dapat disempurnakan ketika latihan di Thailand mulai minggu depan.

Petinju dari Perak itu berazam memberikan persembahan terbaik dan menyasarkan membawa pulang pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 7:55 PM