LYLES gembira selepas mengungguli acara 100m kejohanan dunia. FOTO Reuters
LYLES gembira selepas mengungguli acara 100m kejohanan dunia. FOTO Reuters
AFP

Budapest: Noah Lyles berbangga dengan cara dia berjuang kerana sebelum ini sentiasa keluar masuk hospital dan sekolah disebabkan batuk yang teruk serta Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), sekarang dia adalah juara dunia acara pecut.

Pelari berusia 26 tahun itu yang melakar kemenangan sensasi 100m pada Kejohanan Dunia pagi tadi memiliki karisma dan daya tarikan seperti Usain Bolt.

Beberapa pelari mencuba dan gagal (perwatakan seperti Bolt) tetapi Lyles, dengan kisah silamnya sukar untuk memberi tumpuan dan fokus serta pengakuan jujurnya dalam memerangi kemurungan mungkin adalah pahlawan bersama perisai bersinar yang ditunggu-tunggu oleh Olahraga Dunia.

Sebuah dokumentari mengenai Lyles sedang difilemkan untuk NBC Sports oleh penerbit yang memenangi Emmy dan dengan Netflix turut merakam siri yang memfokuskan pada 100m, kisahnya ditetapkan untuk mencapai khalayak yang lebih luas.

Individu pertama yang diberi penghormatan di atas kejayaan semalam berkenaan adalah ibunya, Keisha.

Ketika zaman kanak-kanak Lyles mengalami batuk yang sangat serius sehingga kadang-kadang terpaksa dibawa ke hospital.

"Ibu saya akan masuk ke dalam bilik dan kami akan melalui malam yang panjang kerana saya tidak dapat tidur.

"Sejak saya berumur empat tahun, saya masih ingat pergi berjumpa doktor - atau ke hospital - pada tengah malam, kerana saya tidak boleh bernafas," katanya.

Lyles menumpaskan atlet Botswana, Letsile Tebogo, 20, di tempat dengan catatan 9.88s, manakala pelari Britain, Zharnel Hughes di tempat ketiga.

Kemenangan Lyles adalah emas keempat berturut-turut Amerika Syarikat dalam acara 100m, selepas Justin Gatlin di London pada tahun 2017, Christian Coleman di Doha dua tahun kemudian dan Fred Kerley di Eugene tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 10:20 AM