SINNER mencium trofi Terbuka Australia di  Royal Botanic Gardens hari ini. FOTO AFP
SINNER mencium trofi Terbuka Australia di Royal Botanic Gardens hari ini. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Jannik Sinner merangkul gelaran Grand Slam pertamanya selepas mencipta kebangkitan sensasi dengan menewaskan Daniil Medvedev 3-6, 3-6, 6-4, 6-4, 6-3 dalam perlawanan akhir Terbuka Australia, semalam.

Medvedev menguasai perlawanan dalam pertandingan lima set sepanjang minggu ini dan memenangi tiga daripadanya termasuk dua kemenangan selepas ketinggalan dua set.

Namun, semalam giliran Sinner membuktikan kemampuan. "Saya sangat bangga. Ini perlawanan sangat sukar. Dia bermula dengan baik dan menggerakkan saya di sekitar gelanggang.

"Apa yang rancang tidak menjadi pada awal permainan tetapi saya mencari peluang kecil dalam set ketiga di mana saya dapat menggunakannya. Perlawanan kemudian berubah dan saya sangat gembira menerusi cara saya membetulkannya.

"Emosi saya bercampur baur sekarang. Saya perlu duduk sebentar dan memprosesnya tetapi ia perasaan yang luar biasa," katanya.

Pemain pilihan ketiga dari Russia, Medvedev mempamerkan servis kencang untuk mendahului dua set, memenangi 80 peratus dan 84 peratus mata pada servis pertamanya.

Manakala pemain pilihan keempat dari Itali, Sinner bergelut dengan servisnya, memudahkan Medvedev meraih empat break dalam dua set pertama sementara Sinner hanya berjaya satu break.

Menuju set kelima, Medvedev yang berdepan minggu mencabar mula kelihatan letih pada set kelima dan peluang itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Sinner yang beraksi final Grand Slam pertamanya.

Kejayaan terbaiknya sebelum ini dalam kejohanan utama adalah pada Wimbledon tahun lalu. Dia menjadi pemain lelaki Itali pertama yang memenangi acara Grand Slam sejak Adriano Panatta pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 9:59 AM