ESTHER dan Daniel mencatat masa terpantas keseluruhan lelaki dan wanita negara. FOTO Ironman 70.3
ESTHER dan Daniel mencatat masa terpantas keseluruhan lelaki dan wanita negara. FOTO Ironman 70.3
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Daya tarikan secara besar-besaran sukan triatlon di Malaysia dapat disaksikan ketika penganjuran Festival Sukan Pantai Pelbagai Desaru (DCMF) 2023, apabila lebih 1,250 penyertaan dicatatkan daripada kira-kira 50 negara menyertai festival itu hujung minggu lalu.

Festival selama tiga hari itu menampilkan pelbagai acara untuk atlet amatur sehingga berpengalaman dengan menyertai pelbagai acara termasuk Ironman 70.3 Desaru Coast, Triatlon 5150 Desaru Coast, Triatlon Pecut Desaru Coast Triatlon dan Ironkids Desaru Coast.

Acara tahunan itu menjadi lebih menarik apabila menawarkan 55 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2023 di Lahti, Finland (26 & 27 Ogos 2023).

Pasangan adik-beradik negara, Daniel John Chen dan Esther Joy Chen, yang baru pulih daripada Covid-19 minggu lalu, mendominasi perlumbaan dengan menjadi atlet terpantas Malaysia.

Esther, atlet Sukan Sea Vietnam 2021 yang menewaskan abangnya dengan masa penamat 5 jam 3 minit 9 saat (s), mengakui dia tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku dalam penampilan sulungnya di Ironman 70.3.

"Saya tidak boleh menjanjikan prestasi lebih baik dalam perlumbaan pertama saya. Saya tidak jangka untuk melakukan sebaik ini dan mengatasi abang saya, terutamanya selepas pulih daripada Covid-19 seminggu yang lalu," katanya.

Harry Sinclair dari Australia menjadi peserta lelaki paling pantas keseluruhan selepas mempamerkan aksi mantap dan konsisten untuk melepasi garisan penamat di tempat pertama dalam keadaan panas terik di Desaru.

Dia yang berusia 26 tahun dan mencatat masa 4:26:27s berkata, ia perlumbaan paling mencabar pernah dilaluinya.

"Ia permainan mental yang mencabar dan saya perlu terus berusaha keras. Saya gembira berjaya melakukannya, ini perlumbaan paling sukar yang pernah saya lalui. Ia perlumbaan taktikal, saya berada di hadapan dan saya perlu terus berusaha untuk meraih kemenangan," kata Sinclair.

Sementara itu, Choo Ling Er terus menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk dia memburu kejayaan dengan mengungguli kategori wanita keseluruhan hasil catatan masa 4:49:52s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 4:14 PM