SAFFIAN (empat kanan) bergambar bersama atlet jet ski negara. FOTO MSN
SAFFIAN (empat kanan) bergambar bersama atlet jet ski negara. FOTO MSN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Jet Ski Malaysia tidak mahu pulang dengan tangan kosong apabila meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu pingat pada penyertaan di Temasya Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Walaupun sukan Jet Ski diletakkan dalam kategori B, Presidennya Datuk Saffian Omar berkata, pihaknya tetap optimis wakil Malaysia mampu melakar kejutan apabila berhadap pesaing hebat dari Thailand, Indonesia dan Kemboja.

"Sasaran adalah membawa pulang pingat dan sasaran realistik disandarkan kepada Tee Chen Jet atau dikenali sebagai Terry, kerana dia adalah pelumba terbaik yang kita ada," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut mempertaruhkan empat atlet lain bagi menggalas cabaran memburu enam pingat emas yang ditawarkan pada temasya itu termasuk Muhammad Arief Rayhan Mohd Rasis, Norfirdaus Rafie dan Izzah Athirah Ahmad Zuhairi.

"Sebagai persiapan, setiap hari atlet menjalani latihan di darat dan juga fizikal dan kini kita menjalani latihan trek di Tasik Biru, untuk menguji kemahiran situasi sebenar.

"Berbanding cabaran di Sukan Asia lalu, kita menyewa bot jetski sehingga enjin pecah, kali ini kita membeli empat jentera yang menelan belanja lebih RM400,000," katanya.

Chen Jet akan beraksi dalam dua acara, Rundabout Stock dan Rundabout 1100 Stock, Arif Rayhan (Ski GP), Firdasus (Endurance Rundabout Open) danIzzah (Rundabout 1100 Stock).

Untuk rekod, Sukan Sea Kemboja menjadi temasya pertama serantau menyenaraikan acara Jet Ski untuk dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 10:56 AM