TERRY mengakui bahawa pelumba dari Thailand, Indonesia dan tuan rumah Kemboja, adalah pencabar utama. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
TERRY mengakui bahawa pelumba dari Thailand, Indonesia dan tuan rumah Kemboja, adalah pencabar utama. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemenang emas Piala Dunia Jet Ski 2015 di Thailand, Terry Tee optimis untuk mencipta sejarah sebagai pemenang emas Sukan Sea Kemboja, apabila sukan ekstrem itu dipertandingkan buat kali pertama pada temasya dwitahunan berkenaan.

Terry, 30, yang mempunyai pengalaman beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang, berkata persiapan pasukan negara bagi temasya kali ini lebih mantap dengan adanya sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

"Persiapan berjalan lancar dengan latihan di Tasik Biru Kundang dan di ISN yang sangat membantu. Untuk jet ski, pastinya penunggang kena cergas, selain mekanik dan jentera pun memainkan peranan yang besar," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihannya.

Terry, juara kategori Pro-Am Runabout Open Piala Dunia 2015 di Thailand, mengakui bahawa pelumba dari Thailand, Indonesia dan tuan rumah Kemboja, adalah pencabar utama pada temasya kali ini.

Dia yang akan beraksi dalam kategori Runabout Stock dan Runabout 1100 Stock, turut berkata kos untuk terbabit dalam perlumbaan itu agak tinggi, apabila harga jet ski adalah lebih kurang RM200,000, manakala kos penyelenggaraan dan mekanik untuk satu-satu pertandingan boleh mencecah lebih RM50,000.

Malaysia akan turut diwakili oleh Izzah Athirah Ahmad Zuhairi dalam kategori Runabout 1100 Stock, Norfirdaus Rafie (Endurance) dan Muhammad Arife Rayhan Mohd Rasis (Ski GP), dan pertandingan jet ski itu dijadualkan bermula pada 13-16 Mei di Sihanoukville, bandar peranginan di pantai barat daya Kemboja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Jet Ski Malaysia Datuk Mohamed Saffian Omar memaklumkan bahawa penghantaran jet ski, peralatan dan mekanik ke Sihanoukville, bakal mengambil masa selama empat hari melalui jalan darat dari Kuala Lumpur.

"Kita merancang untuk bertolak pada 5 Mei dari sini, dan tiba di Sihanoukville melalui Thailand. Kita melalui jalan darat untuk menjimatkan kos, tetapi masih perlu membelanjakan ratusan ribu untuk penghantaran, peralatan dan minyak untuk latihan dan pertandingan.

"Kita juga membeli jentera baharu pada kali ini, kerana ketika Sukan Asia 2018, kita menyewa jet ski di sana, tetapi kualiti yang diterima tidak begitu baik. Kita tiada penajaan seperti negara lain, kita berharap ada pihak yang boleh memberi tajaan," katanya.

Beliau yakin skuad negara mampu membawa pulang pingat pada temasya kali ini walaupun menerima tentangan sengit, selepas pulang dengan tangan kosong daripada Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 8:56 PM