AHMAD Ismail (tengah) bimbang negara ketandusan tekong berkualiti.
AHMAD Ismail (tengah) bimbang negara ketandusan tekong berkualiti.

Kuala Lumpur: Ketiadaan bakat baru menyerlah dalam posisi tekong di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak mencetuskan kebimbangan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Situasi itu menyebabkan PSM menggesa ahli gabungannya agar memberikan tumpuan dalam melahirkan tekong berkualiti pada masa depan bagi memastikan negara tidak ketandusan pemain berwibawa.

Gesaan itu hadir menerusi pemerhatian PSM terhadap pertandingan SUKMA yang berakhir minggu lalu apabila tiada tekong mampu mencuri tumpuan badan induk sepak takraw negara itu.

“Saya berharap ahli gabungan memberikan tumpuan dalam melahirkan tekong berwibawa untuk diketengahkan.

“Kami hanya dapat mengesan enam perejam dan enam pengumpan yang boleh diketengahkan menerusi SUKMA Sarawak.

“Namun, untuk tekong sebaliknya yang berlaku sedangkan posisi itu watak utama,” kata Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail.

Malaysia kini dalam rangka persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan dengan Malaysia sememangnya mengharapkan kehadiran bakat baru berkualiti.

Sebanyak 12 pingat emas dipertandingkan termasuk empat menerusi disiplin Chinlone.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 7:02 AM