ATLET kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi, Goh Liu Ying dan Nor Sarah Adi pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita, semalam.
ATLET kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi, Goh Liu Ying dan Nor Sarah Adi pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita, semalam.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tak sampai 24 jam selepas Anugerah Ikon Sukan (AIS) dilancarkan secara rasmi semalam, sambutan hangat diterima daripada peminat sukan tempatan.

Ia selepas hampir 6,482 undi sudah diterima dengan kesemuanya menerusi undian atas talian.

Menerusi pecahan undian, peminat sukan tanahair menggunakan tiga platform iaitu melayari laman sesawang www.hmetro.com.my/AIS dengan 4,642 undian, Facebook 1,160 undi dan Instagram 680 undi.

Melalui kaedah itu, peminat yang mengundi akan meraih 20 mata dan jika mahu mengundi lagi, mereka perlu menunggu dalam masa 24 jam untuk undian seterusnya.

Selain kaedah itu, terdapat cara lain dengan peminat boleh membeli Gardenia Breakthru untuk mengumpul mata tambahan sebanyak 20 mata lagi untuk memilih calon ikon sukan kegemaran anda bagi dinobatkan selaku pemenang.

Dengan setiap penyertaan, pengundi berpeluang memenangi barangan eksklusif daripada Gardenia Breakthru setiap minggu.

Malah, undian melalui Gardenia Breakthru juga boleh dibuat menerusi Facebook Gardenia dan Instagram Gardenia.

Cetakan akhbar Harian Metro juga menyediakan borang undian buat peminat. Untuk maklumat lanjut mengenai cara pengundian, boleh didapati di akhbar Harian Metro.

AIS anugerah pertama di negara ini melibatkan undian pilihan pembaca untuk industri sukan, di mana lapan kategori utama dipertandingkan iaitu Ikon Sukan Lelaki Breakthru, Ikon Sukan Wanita Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan, dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Ikon sukan yang meraih jumlah undian peminat dan markah juri profesional paling tinggi akan dinobatkan dengan anugerah Ikon Sukan Terbaik, dan akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2023, malah akan disiarkan secara langsung di saluran TV9.

Proses undian anugerah AIS dibahagikan kepada dua pusingan. Undian pusingan peringkat pertama sudah bermula pada 30 Oktober lalu dan akan berakhir pada 20 November ini.

Pada peringkat ini, undian berdasarkan kepada calon 20 terbaik AIS bagi setiap kategori dan proses undian dilakukan 100 peratus oleh pembaca dan peminat.

Manakala undian pusingan peringkat kedua, yang akan bermula pada 5 Disember sehingga 25 Disember ini, membabitkan undian untuk calon lima terbaik AIS bagi setiap kategori.

Pada peringkat ini, proses pemilihan pemenang bagi setiap kategori adalah berdasarkan 50 peratus penilaian juri profesional, dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 1:08 PM