ABDUL Manan (hujung kiri) bersama sebahagian daripada atlet negara ketika Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita pada 2 November lalu.
ABDUL Manan (hujung kiri) bersama sebahagian daripada atlet negara ketika Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita pada 2 November lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai mengenang jasa atlet yang banyak berkorban untuk negara, menghargai jasa peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada atlet kesayangan mereka, Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro bakal tampil dengan hadiah lumayan dan terbesar berbanding anugerah lain membabitkan sukan sebelum ini.

Hadiah misteri ini sudah pasti dapat menyemarakkan lagi AIS dan membuatkan atlet serta pengundi mereka ternanti-nanti sehingga majlis anugerah yang bakal dilangsungkan Januari depan.

Menurut Penyelaras Projek AIS, Abdul Manan A Samad, kedua-dua atlet dan peminat sukan saling memerlukan antara satu sama lain, terutama dalam menyemarakkan lagi arena sukan di Malaysia.

"Jadi apa salahnya kita meraikan mereka bersempena AIS yang julung kali diadakan ini dengan menawarkan dua hadiah misteri lumayan," katanya yang juga Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Harian Metro.

Beliau berkata, dua hadiah misteri lumayan itu bakal menanti pemenang utama AIS dan pengundi bertuah.

"Hadiah itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Belum boleh diumumkan buat masa ini, tapi yang pasti ia paling lumayan dalam sejarah anugerah sukan di Malaysia.

"Masih belum terlambat buat pengundi melaksanakan peranan sebelum undian ditutup pada 20 November ini untuk mencari lima terbaik bagi setiap kategori AIS," katanya.

Selain undian melalui akaun media sosial penaja utama, Gardenia Breakthru, peminat juga boleh mendapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Ikon sukan yang meraih jumlah undian peminat dan markah juri profesional paling tinggi akan dinobatkan dengan anugerah Ikon Sukan Terbaik, dan akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang dijadualkan berlangsung pada awal 2023, malah akan disiarkan secara langsung di saluran TV9.

Proses undian anugerah AIS akan dibahagikan kepada dua pusingan. Undian pusingan peringkat pertama sudah bermula pada 30 Oktober lalu dan akan berakhir pada 20 November ini.

Pada peringkat ini, undian berdasarkan kepada calon 20 terbaik AIS bagi setiap kategori dan proses undian dilakukan 100 peratus oleh pembaca dan peminat.

Manakala undian pusingan peringkat kedua, yang akan bermula pada 5 Disember sehingga 25 Disember ini, membabitkan undian untuk calon lima terbaik AIS bagi setiap kategori.

Pada peringkat ini, proses pemilihan pemenang bagi setiap kategori berdasarkan 50 peratus penilaian juri profesional, dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 5:28 PM