ATLET Ethiopia, Yalemzerf Yehualaw muncul juara wanita elit di Maraton London. FOTO AFP
ATLET Ethiopia, Yalemzerf Yehualaw muncul juara wanita elit di Maraton London. FOTO AFP
AFP

London: Atlet Kenya, Amos Kipruto dan atlet Ethiopia, Yalemzerf Yehualaw memenangi gelaran Maraton London bagi acara lelaki dan wanita elit, semalam.

Selepas enam bulan membuat penampilan pertama bagi larian jarak itu, Yalemzerf, 23, menamatkan perlumbaan dengan masa dua jam, 17 minit dan 26 saat - catatan ketiga terpantas dalam sejarah Maraton London bagi kategori wanita.

Kipruto kemudian memenangi kategori lelaki dalam masa dua jam, empat minit dan 39 saat selepas meninggalkan pelari lain kira-kira 5 kilometer (km) dari garisan penamat.

Pelari Ethiopia, Leul Gebresilase menduduki tempat kedua apabila melintasi garisan penamat 33 saat kemudian diikuti Bashir Abdi dari Belgium yang melengkapkan podium.

Yalemzerf yang muncul juara Maraton London paling muda pantas meninggalkan kumpulan empat pelari termasuk juara 2021 dari Kenya, Joyciline Jepkosgei yang tidak mampu mengejarnya.

Joyciline menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala atlet Ethiopia, Alemu Megertu di tempat ketiga.

Pelari terbaik wanita Britain adalah Rose Harvey yang menduduki tempat ke-10 manakala bagi kategori lelaki, Weynay Ghebresilasie dan Phil Sesemann menduduki tempat kesembilan dan ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:02 PM