PEMAIN Pahang (terduduk) ketika menewaskan Pulau Pinang 3-2, hari ini. FOTO FB HOKITA
PEMAIN Pahang (terduduk) ketika menewaskan Pulau Pinang 3-2, hari ini. FOTO FB HOKITA
Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan hoki lelaki Pahang memulakan misi untuk merampas pingat emas acara itu di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan menewaskan Pulau Pinang 3-2 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad mengakui gembira dengan kemenangan itu, tetapi menegaskan masih banyak perlu diperbaiki untuk perlawanan kedua menentang Negeri Sembilan, esok.

"Permulaan yang sangat baik, cuma pemain tidak dapat menjaringkan gol selepas dihidangkan peluang begitu banyak sekali.

"Saya gembira dengan pemain yang terus sabar untuk mencari gol dan mereka memberikan komitmen tinggi sehingga perlawanan tamat.

"Saya akan buat analisis video dan lebihkan fokus kepada serangan pukulan sudut penalti. Hari ini kita dapat banyak pukulan sudut penalti, tetapi masih kurang kemas," katanya.

Pada edisi 2018 di Perak, Pahang berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas di tangan Sabah menerusi penalti shoot-out dalam aksi final.

Muhammad Idris Saad meledak dua gol buat Pahang pada minit ke-22 dan 40 selain satu daripada Muhammad Noor Firdaus Rosdi minit ke-37.

Manakala Pulau Pinang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, Jiwa Mohan menjaringkan gol menerusi Angad Singh Khalsa dan Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah pada minit ke-35 dan 51.

Sementara itu, dua pasukan juara bertahan acara hoki lelaki dan wanita bermula langkah kanan apabila menewaskan lawan masing-masing, hari ini.

Skuad hoki lelaki Sabah yang melakar sejarah muncul juara kali pertama pada 2018 di Perak, menewaskan Kedah 3-0 dalam aksi Kumpulan A.

Granson Noel Goden muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol padang pada minit ke-7 dan ke-50 sebelum Mohd Nor Ismail Jamail menambah gol ketiga seminit kemudian untuk mengesahkan kemenangan Sabah.

Sementara itu, skuad wanita Selangor tidak berdepan masalah menewaskan Terengganu 4-1 pada aksi Kumpulan X.

Bagaimanapun, Terengganu di depan menerusi gol Nurul Farawahida Marzuki minit ke-16 sebelum Ellya Amanina Ellias menyamakan kedudukan hasil penalti stroke minit ke-21.

Nur Insyirah Effarizal menambah gol kedua minit ke-31 hasil jaringan padang manakala Dayang Nuramirah Abang Mahadini menambah gol ketiga minit ke-45 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Siti Mariani Hashim mengesahkan kemenangan Selangor menerusi gol keempat minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:20 PM