LEE Peng pakai jersi negara dan bawa pingat kerana tidak mahu dilabel sebagai warga asing FOTO AFFAN ROSTAM
LEE Peng pakai jersi negara dan bawa pingat kerana tidak mahu dilabel sebagai warga asing FOTO AFFAN ROSTAM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: "Orang anggap saya warga asing sebab itu saya pakai jersi negara dan bawa pingat. Sebenarnya saya bukan nak berlagak dan kadang-kadang saya menangis sebab orang cakap begitu."

Itu penjelasan daripada bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng selepas terdapat pihak yang mendakwa beliau sengaja memakai jersi negara dan membawa pingat semata-mata untuk melariskan jualannya.

Lee Peng yang juga Olahragawati Paralimpik 2016 itu berkata, tindakannya itu hanyalah untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang bekas atlet yang tidak mempunyai sebarang wang persaraan.

Malah, beliau selesa dengan rutin hariannya itu biarpun terdapat individu yang kurang senang dan berkata buruk mengenainya.

"Saya buat macam ini untuk teruskan kehidupan. Saya pun tak ada duit pencen dan saya nak kerja macam ini saja. Saya selesa begini.

"Saya buat macam ini pun masih juga ada yang berkata buruk tapi saya tak kisah semua itu. Setiap manusia ada masalah. Kamu tak tahu masalah saya dan saya tak tahu masalah kamu," katanya yang kini menjual barangan secara kecil-kecilan seperti makanan ringan, tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang.

Ditanya mengenai tawaran kerja yang diterima daripada badan-badan sukan, Lee Peng mengakui ada menerima tawaran sebagai jurulatih, namun beliau merasakan ia satu tugas yang berat selain menganggap keadaannya kini sudah tidak mengizinkan.

"Ada yang tawarkan saya untuk jadi jurulatih tapi saya yang tak mahu. Memang mereka akan bayar tapi saya kena latih ramai atlet dan bukan semua kategori itu sama. Kalau saya tak dapatkan keputusan yang baik mereka boleh 'tendang' saya keluar juga.

"Jadi lebih baik saya macam ini saja dan saya selesa. Saya pun tak curi dan saya tak meminta. Orang datang nak beli apa yang saya jual saja. Saya pun dah letih sebenarnya (dalam sukan). Tuhan sudah tetapkan sekarang ini cara untuk saya cari duit adalah dengan buat begini. Jadi, saya terima.

"Saya ini orang kurang upaya (OKU) dan tak boleh buat perkara macam orang biasa. Saya pun sekarang ini tengah sakit jadi nak buat semua itu dah tak mampu," katanya.

Terdahulu, isu Lee Peng kembali hangat diperkatakan di pelbagai platform media sosial apabila pendakwah terkenal Ebit Liew memuatnaik hantaran yang menunjukkan dia bertemu dan membantu atlet terbabit.

Susulan itu, timbul tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial terhadap kerajaan dan juga pihak-pihak yang terbabit berhubung kebajikan bekas atlet negara.

Maka, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed tampil menjelaskan perkara sebenar dan menyeru semua pihak agar tidak mengeksploitasi isu terbabit demi agenda peribadi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:07 PM