QAIYUM (kiri) yakin mara lebih jauh di Sukan Sea Kemboja.
QAIYUM (kiri) yakin mara lebih jauh di Sukan Sea Kemboja.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas terkandas di pusingan awal pada Sukan Sea Vietnam 2021, petinju kebangsaan, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, bertekad untuk mencipta kejutan dengan sasaran meraih pingat emas pada Sukan Sea 2023 di Kemboja, Mei depan.

Menurut petinju berasal dari Perak itu, pengalaman diperolehnya ketika bertanding di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selain cabaran di peringkat tempatan dan rantau ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi impian berkenaan.

"Ketika temasya di Vietnam, saya tampil tanpa sebarang pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus membuatkan sukar untuk memberikan cabaran terbaik kepada petinju dari Filipina.

"Bagaimanapun selepas itu, saya menyertai banyak kejohanan di beberapa negara luar selain peringkat tempatan, memberi peluang meningkatkan prestasi.

"Malah, latihan yang diadakan sepanjang tempoh ini menambahkan lagi keyakinan saya untuk membuat persiapan dan memberikan persembahan terbaik pada Sukan Sea di Kemboja nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penampilan Qaiyum di arena sukan tinju tempatan mula mencuri tumpuan apabila atlet berusia 21 tahun ini memenangi pingat emas menerusi kategori 48 kilogram (kg) di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Dia kemudian dipilih menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang diadakan sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

Qaiyum berkata, hasratnya untuk mencipta sejarah meraih pingat emas dalam kategori 51kg di Sukan Sea Kemboja nanti bukan sekadar impian semata-mata tetapi diiringi dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam latihan.

"Saya sudah memulakan persiapan ke arah itu sejak akhir tahun lalu dan menerusi bimbingan jurulatih, Awang Affandey Awang Kati, banyak kemajuan yang dicapai terutama dari segi taktikal dan skil persembahan.

"Namun, saya perlu terus berusaha meningkatkan prestasi kerana cabaran di Sukan Sea amat sengit terutama dari petinju Thailand dan Filipina," katanya.

Menurutnya, dia sudah dimaklumkan mengenai perancangan pengurusan pasukan kebangsan untuk petinju terpilih menjalani latihan sama ada di Thailand ataupun Kazakhstan, yang dijangka bermula April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 10:06 PM