SKUAD taekwondo negara bergambar ketika sidang media di Majlis Sukan Negara. FOTO Amirul Johari
SKUAD taekwondo negara bergambar ketika sidang media di Majlis Sukan Negara. FOTO Amirul Johari
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas lebih dua tahun tidak menyertai sebarang pertandingan ataupun menjalani latihan di luar negara, skuad taekwondo kyorugi akan berlepas ke Korea Selatan Ahad ini untuk menjalani latihan sebagai persiapan terakhir sebelum ke temasya Sukan Sea Hanoi, bulan depan.

Mereka akan berkampung selama 33 hari di Chungnam Physical Education High School.

Jurulatih skuad kyorugi, Rusfrendy Tokan Petrus pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, fasa terakhir ini adalah persiapan buat skuad negara menilai tahap kemampuan masing-masing.

Katanya, mereka akan didedahkan dengan latihan berintensiti tinggi justeru diharapkan mereka bersedia dengan segala kemungkinan.

"Sudah dua tahun lebih kami tidak keluar ke mana-mana. Persatuan sudah mengatur perancangan teliti termasuk mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan di Korea nanti.

"Saya harap mereka boleh bertahan dengan tekanan yang dihadapi apabila berada di Korea nanti.

"Ini kerana ketika bulan Ramadan ini mungkin ada sedikit kesukaran memandangkan latihan dijangka lebih sukar," katanya yang menjangkakan saingan sengit dari Thailand, Filipina dan Vietnam pada temasya itu.

Pada edisi Filipina 2019, skuad kyorugi lelaki membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa.

Perak dihadiahkan Joshua Amirul Abdullah dalam kelas welterweight 80 kilogram (kg) manakala Syafiq Zuber (lightweight 74kg) dan Luqman Hakim Suhaimi (heavyweight +87kg) masing-masing meraih gangsa.

Manakala kyorugi wanita menyaksikan Malaysia meraih satu gangsa menerusi Nur Aqilah Suhaimi dalam kelas welterweight 67kg.

Sementara itu pengurus pasukan, Ong Thiam Hock berkata, sukar untuk menyatakan sasaran pingat namun diharapkan pertukaran strategi diharapkan mampu untuk menghadirkan pingat buat negara.

"Sukar untuk kami membuat jangkaan (pingat emas) ketika ini. Harap selepas sesi latihan (di Korea), mereka akan dapat keputusan yang baik. Saya fikir mereka akan berlawan dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 8:35 PM