ATLET taekwondo negara jalani latihan.
ATLET taekwondo negara jalani latihan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Badi gagal memenangi pingat emas dalam tiga edisi berturut-turut temasya Sukan SEA sebelum ini mahu dipadamkan skuad taekwondo negara apabila turun beraksi di KL2017 bulan ini.

Pengurus pasukan A Jayarajen mengakui ketiga-tiga temasya itu termasuk yang terakhir di Singapura dua tahun lalu nyata tidak memihak kepada atlet negara dan atas faktor itu persiapan lebih rapi dilakukan bagi edisi kali ini untuk memastikan sasaran dua emas mampu dicapai.

“Saya memang amat berharap badi gagal memenangi pingat emas dalam tiga Sukan SEA sebelum ini dapat ditamatkan.

“Untuk kali ini, atlet melakukan persiapan cukup rapi dengan atlet yang beraksi menerusi acara kyorugi sudah berada di Korea Selatan sejak Januari lalu untuk menyertai pelbagai pertandingan selain terus menjalani latihan.

“Atlet yang beraksi dalam acara poomsae pula turut berpeluang menjalani latihan selama dua minggu di Korea dan menyambung kembali latihan di sini,” katanya.

Jelas Jayarajen, beliau dapat berasakan setiap atlet begitu bersemangat untuk memastikan Malaysia kembali menjadi negara yang mampu mengutip pingat emas.

“Setiap atlet benar-benar bersungguh-sungguh mahu melakukan yang terbaik di KL2017.

“Lagipun sebagai tuan rumah, sudah pasti kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

“Saya sedar cabaran untuk memenangi pingat agak sukar tapi kami tidak boleh terus berputus asa, sebaliknya berusaha untuk memenanginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 9:52 AM