MONFILS (kanan) dan Medvedev selepas tamat perlawanan.
MONFILS (kanan) dan Medvedev selepas tamat perlawanan.
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat: Daniil Medvedev tersingkir daripada Masters ATP/WTA Indian Wells selepas tewas mengejut kepada Gael Monfils awal pagi tadi yang menamatkan kedudukannya selaku pemain nombor satu dunia selama tiga minggu.

Pemain ranking ke-28 dunia, Monfils mempamerkan prestasi bertenaga ketika menewaskan pemain Rusia itu 4-6, 6-3, 6-1 dalam masa dua jam untuk mara ke pusingan keempat.

Kemenangan itu yang pertama buat pemain Perancis berusia 35 tahun ke atas pemain ranking nombor satu dunia sejak 2009.

Kekalahan itu juga bermakna Novak Djokovic kembali ke takhta ranking dunia, tiga minggu selepas Medvedev merampas kedudukan itu pada 28 Februari.

"Saya mempunyai permulaan yang bagus tahun ini, berasa kuat dan pergerakan juga lancar," kata Monfils.

Pilihan ke-26 itu akan menentang bintang muda Sepanyol, Carlos Alcaraz di pusingan keempat Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 9:12 AM