TERENGGANU ceria selepas muncul juara pasukan keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil.
TERENGGANU ceria selepas muncul juara pasukan keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Rembau: Reputasi Terenganu selaku jaguh lumba basikal negara ini sukar dinafikan apabila pasukan itu muncul juara keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan 2021, yang berakhir hari ini.

Malah, pelumba pasukan itu turut mengekalkan Jersi Kuning (juara keseluruhan) menerusi Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim yang turut dinobatkan pemenang Jersi Merah (Raja Bukit) dan rakan sepasukan, Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo meraih Jersi Hijau (Raja Pecut).

"Syukur Alhamdullilah, kami dapat kekalkan momentum pada hari terakhir perlumbaan dan bangga dapat kekalkan jersi.

"Ini pertama kali saya dapatkan kekalkan Jersi Kuning dalam suatu perlumbaan tempatan dan ia suatu permulaan yang baik bagi saya untuk terus maju dan berjaya dalam perlumbaan lain terutama ketika Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur tahun depan.

"Kejayaan ini suatu yang positif dan yakin keputusan ini akan membakar lagi semangat saya untuk meningkatkan prestasi," kata Shahmir Aiman, 21.

Dia mencatat masa tiga jam, 26 minit dan 33 saat untuk mengumpul 9:29.57s bagi mendapatkan Jersi Kuning.

Sementara itu, Mohammad Faisal, 21, berkata kejayaannya merangkul Jersi Hijau hari ini sememangnya begitu berbaloi kerana dia mengalami kecederaan di tangan kiri dua hari sebelum perlumbaan.

"Saya mengalami kemalangan dan cedera di tangan kiri ketika latihan selepas terlanggar batu besar di Nilai Negeri Sembilan.

"Memang ada rasa sakit sejak peringkat pertama, tapi saya tidak mahu ia mengganggu fokus dan bertindak nekad kerana azam saya untuk mencipta sesuatu perlumbaan ini.

"Alhamdulillah, akhirnya berjaya mendapatkan Jersi Hijau walaupun pada perlumbaan peringkat pertama dan kedua tidak kesampaian," katanya.

Menurutnya, latihan intensif sebelum perlumbaan dengan berkayuh selama 25 hari dari Terengganu ke Negeri Sembilan, dengan jarak kira-kira 3,000 kilometer (km) memberi impak positif.

"Saya rasa sangat berbaloi hari ini kerana dapat kekalkan jersi dan yang penting reputasi pasukan dapat dipertahankan," katanya.

Pelumbaan terakhir bermula dan berakhir di Dataran Rembau membabitkan jarak 128.4 km. Hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohd Nazri Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 7:29 PM