FIRDAUS (tengah) mengekalkan jersi hijau.
FIRDAUS (tengah) mengekalkan jersi hijau.

Kuala Lumpur: Eiman Firdaus Mohd Zamri terus mencuri tumpuan pada kejohanan Jelajah Remaja Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Negeri Sembilan.

Selepas memenangi peringkat pertama kelmarin, pelumba berusia dari Johor itu mengungguli hari kedua semalam dengan catatan dua jam 26 minit 40 saat untuk menamatkan peringkat perlumbaan sejauh 97.6 kilometer.

Kemenangan itu memastikan Eiman Firdaus terus menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan dan jersi hijau (Raja Pecut) namun terpaksa melepaskan jersi merah (Raja Bukit) kepada pencabar dari Selangor.

“Kami terpaksa merancang strategi mengekalkan jersi kuning dan meraih kemenangan peringkat kedua. Jadi jersi merah terpaksa dikorbankan,” kata jurulatih Johor Firdaus Daud.

Selepas melakukan pemecahan, Eiman Firdaus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam kalangan 15 pelumba yang melakukan pemecahan.

“Saya berpuas hati kerana mereka melaksanakan strategi dirancangkan. Eiman Firdaus berjaya mengekalkan penguasaan,” katanya.

Saingan akan berakhir hari ini membabitkan peringkat ketiga perlumbaan membabitkan jarak 102.6 kilometer bermula di Kompleks Sukan Seremban 2 ke Mydin Seremban 2.

Kejohanan yang kali pertama dianjurkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) itu mendapat sambutan menggalakkan apabila 18 pasukan bertanding termasuk dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 10:07 AM