ZIYAD ketika beraksi di Paralimpik Tokyo. FOTO NSTP
ZIYAD ketika beraksi di Paralimpik Tokyo. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menerima dengan hati terbuka keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang merumuskan dia dan jurulatih lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Bagaimanapun, Ziyad jelas enggan memanjangkan isu berkenaan yang berlangsung pada hari Kemerdekaan Negara itu dan berhasrat menjadikan detik hitam itu sebagai satu pengajaran buatnya di masa akan datang.

"Ingin saya nyatakan, saya menerima keputusan siasatan itu dengan hati terbuka," kata Ziyad dalam satu hantaran video menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Ziyad mengakui dia redha dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku walaupun keadaan ketika itu agak sukar untuknya.

"Saya dan jurulatih mempertahankan dakwaan kami tetapi kami mengakui, tanpa kami sedari, kami melakukan kekhilafan seperti didakwa. Maafkan kami sebab kecewakan semua dan percayalah kami tak mahu keadaan seperti itu. Kami akan jadikan kekhilafan itu sebagai pengajaran pada masa akan datang.

"Saya harap isu ini tidak dispekulasikan dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Tak ada siapa patut dipersalahkan kerana kalau ada pun kesilapan adalah atas kelemahan diri kami sendiri.

"Buat masa ini, saya lebih fokus untuk meneruskan latihan seperti biasa sebagai persediaan bagi temasya akan datang. InsyaAllah, keputusan ini tak melemahkan semangat dan memberi motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan lebih baik di masa akan datang," kata Ziyad.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan mengenai hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah.

Rumusan daripada siasatan berkenaan mendapati, Ziyad dan jurulatih, Mohd Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

Ziyad terlepas emas dan rekod dunia dilakukannya di Tokyo dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Bagaimanapun, Ziyad dan Faizol sebaik tiba di tanah air ketika menceritakan semula detik 'hitam' yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu menegaskan, mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti ditetapkan dalam peraturan.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 1:05 PM