AZROY berdepan penggantungan maksimum empat tahun.
AZROY berdepan penggantungan maksimum empat tahun.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan hukuman terhadap dua atlet angkat berat yang didapati positif doping hanya akan diketahui bulan depan. Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin berkata, sesi pendengaran membabitkan kes berkenaan akan berlangsung pada Oktober yang mana keputusan akan diputuskan selepas semuanya selesai.

"Hukuman hanya akan diketahui bila semua urusan sudah selesai dan jawatankuasa akan umumkan hukuman yang akan dikenakan. Ia akan berlangsung pada Oktober ini," katanya.

Kedua-dua atlet angkat berat yang mana salah seorang daripadanya adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad berdepan penggantungan maksimum empat tahun selepas didapati positif anabolic steroid pada ujian yang dilakukan Jun lalu.

Selain Wafie, seorang lagi atlet angkat berat yang difahamkan berasal dari Terengganu turut didapati positif doping.

Bagaimanapun, Persatuan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudahpun membuat keputusan mereka sendiri yang mana atlet terbabit tidak akan dibenarkan menyertai sebarang kejohanan pada masa hadapan.

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya sudah serik apabila sering terpalit kes pengambilan bahan terlarang sekali gus menjejaskan imej persatuan itu yang dilihat gagal mengawal atau memantau tindakan atlet mereka.

Untuk rekod, PABM pada 2018 mengenakan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus kerana positif doping.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:14 PM