Faizal Azumu (tengah) bersama timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker (kiri) pada sidang media sewaktu menyambut kepulangan atlet Sukan Paralimpik 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO BERNAMA
Faizal Azumu (tengah) bersama timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker (kiri) pada sidang media sewaktu menyambut kepulangan atlet Sukan Paralimpik 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tidak mahu ' pisang berbuah dua kali' menyebabkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan susulan dengan menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman berkaitan pembatalan penyertaan dan kemenangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2022.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa itu membabitkan keanggotaan bebas yang dikawal sela oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, antara tugas dan tanggungjawab jawatankuasa berkenaan adalah mengenalpasti isu serta kelemahan yang ada hingga menyebabkan Ziyad gagal membawa pulang pingat emas untuk negara.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dolah iaitu mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

"Ahlinya adalah mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

"Mereka akan memanggil individu yang boleh membantu siasatan seterusnya mengemukakan laporan kepada KBS pada tempoh masa yang ditentukan," katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan menetapkan skop dan bidang tugas jawatankuasa siasatan.

Terdahulu, Ziyad membuktikan dia atlet terbaik dunia apabila melakukan lontaran 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Balingan Ziyad itu hadir pada percubaan ketiga di Stadium Olimpik itu.

Bagaimanapun malang menimpanya apabila kemenangannya menerusi acara itu tidak diiktiraf selepas dia bersama dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia difahamkan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki 'call room' atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:26 PM