PELARI remaja AS, Athing Mu menang pingat emas acara 800m wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PELARI remaja AS, Athing Mu menang pingat emas acara 800m wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pelari remaja, Athing Mu menjadi atlet wanita pertama Amerika Syarikat (AS) menang acara 800 meter di Sukan Olimpik selama lebih separuh abad, selepas mempamerkan larian bertenaga untuk menang emas di Tokyo 2020, hari ini.

Atlet berusia 19 tahun dari New Jersey itu yang berstatus profesional pada Jun lalu selepas karier cemerlang di kolej, mendahului sejak awal perlumbaan untuk mencatatkan rekod baharu AS iaitu 1 minit 55.21 saat.

Pelari Britain, Keely Hodgkinson yang juga berusia 19 tahun merangkul perak dengan catatan 1:55.88s manakala pelari AS, Raevyn Rogers memiliki gangsa dengan catatan 1:56.81s.

Athing yang keluarganya berpindah ke AS selepas perang sivil di Sudan muncul atlet wanita pertama AS menang emas acara 800m di Sukan Olimpik selepas Madeline Manning melakukannya di Olimpik Mexico City 1968.

Dia jelas mempamerkan larian bertenaga dengan keyakinan dan keyakinan walaupun kurang berpengalaman dalam acara trek dan padang di peringkat tertinggi.

Bermula di lorong ketiga, Athing mula mendahului sebelum 200m dan tidak menoleh ke belakang sebelum mencatatkan 57.82s pada pusingan pertama.

Dia terus memecut pada 200m terakhir dan sampai ke garisan penamat dengan jarak selesa berbanding pencabar lain.

Acara 800m di Tokyo 2020 berlangsung tanpa kehadiran pemenang pingat emas London 2012 dan Rio 2016, Caster Semenya dari Afrika Selatan.

Caster digantung daripada bertanding acara 800m oleh Persekutuan Olahraga Dunia berkaitan dadah dalam sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 9:09 PM