NAOHISA Takato memenangi pingat emas pertama Jepun di Tokyo 2020 di final judo lelaki kategori 60kg, hari ini. FOTO EPA
NAOHISA Takato memenangi pingat emas pertama Jepun di Tokyo 2020 di final judo lelaki kategori 60kg, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Atlet judo, Naohisa Takato merangkul emas pertama Jepun di temasya Olimpik Tokyo 2020, hari ini apabila memenangi final kategori 60 kilogram (kg) lelaki di Nippon Budokan.

Peserta berusia 28 tahun itu menebus kekecewaan menang gangsa di Rio, lima tahun lalu, dan menyemarakkan perjuangan kontinjen tuan rumah hasil kemenangan ke atas peserta Taiwan, Yang Yung-wei.

Sebelum itu, peserta Jepun yang menduduki ranking nombor tiga dunia, Funa Tonaki mengalami kekalahan mengejutkan di tangan peserta Kosovo, Distria Krasniqi di final 48kg wanita.

Pingat perak itu adalah pingat pertama bagi Jepun di Tokyo 2020.

Takato yang juga juara dunia tiga kali jelas lebih baik ketika menentang Yang.

Yang dikenakan shido (penalti) ketiga untuk memberikan kemenangan kepada Takato, yang tewas di suku akhir pada 2016.

Jepun turut dilanda keputusan mengecewakan pada hari pertama apabila kempen lagenda gimnastik, Kohei Uchimura berakhir lebih awal.

Juara keseluruhan dua kali itu tergelincir di peringkat kelayakan acara berpalang dan mengalami kecederaan bahu.

Juara dunia, Daiya Seto turut gagal mara ke final acara renang 400 meter rampaian lelaki, walaupun masih memiliki dua lagi acara.

Jepun menyasarkan 30 pingat emas di Tokyo 2020, tetapi jumlah itu dikurangkan apabila kejohanan ditangguhkan selama setahun kerana Covid-19.

Paling banyak emas dimenangi Jepun di Olimpik adalah 16 iaitu di Tokyo 1964 dan Athens, 17 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 8:14 PM