LIU Ying dan Peng Soon boleh berlatih bersama pemain kebangsaan yang lain.
LIU Ying dan Peng Soon boleh berlatih bersama pemain kebangsaan yang lain.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka pintu Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara kepada pemain badminton profesional negara untuk menjalani latihan bersama.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Soniia Cheah dibenarkan untuk menyertai latihan berpusat di ABM sebagai persediaan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.

BAM mencapai kata sepakat dengan mengemukakan rancangan menggabung semua pemain Olimpik di bawah satu bumbung di ABM memandangkan lonjakan kes Covid-19 di negara ini yang semakin meningkat sehingga mengakibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 diperkenalkan.

"Sebagai presiden, saya ingin mengambil langkah proaktif ini untuk mengundang Peng Soon-Liu Ying dan Soniia berlatih bersama pasukan kebangsaan. Saya dengan senang hati mengalu-alukan pemain profesional yang berpengalaman ini bersama-sama kami melakarkan kejayaan bersama-sama untuk negara tercinta, Malaysia.

"Adalah menjadi harapan saya agar mereka dapat berlatih bersama-sama dan pada masa sama, membina semangat kesukanan di antara mereka. Apabila mereka sampai ke Tokyo nanti, tidak ada pemain BAM atau profesional, hanya sekumpulan pemain yang bersatu bermain untuk negara dan mengibarkan Jalur Gemilang, " kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Untuk rekod, tarikh tutup tempoh kelayakan Olimpik adalah pada 15 Jun 2021 dan mana-mana pemain profesional yang layak ke temasya itu akan dijemput untuk mengikuti latihan berpusat di Bukit Kiara.

Mereka bagaimanapun diharapkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat daripada latihan berasaskan kuarantin yang dipraktikkan di pusat kecemerlangan badminton negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 10:23 PM