MEGAT (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada atlet paralimpik Melaka di Dewan Komuniti Paya Rumput hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
MEGAT (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada atlet paralimpik Melaka di Dewan Komuniti Paya Rumput hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Situasi pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia mendorong Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk menganjurkan kejohanan sukan secara maya.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kekangan penganjuran kejohanan dengan perkembangan semasa menyaksikan kejohanan tidak dapat dianjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, situasi terbabit mendorong badan berkenaan merancang kejohanan secara maya jika pandemik berterusan namun memerlukan fasilti, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan perancangan yang sistematik.

Menurutnya, Kejohanan Terjun Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan secara maya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini antara contoh yang positif buat MPM, semua badan utama negara malah dunia.

"Apapun, persiapan memerlukan penelitian yang serius. Situasi tanpa sebarang risiko dipertanggungjawabkan kepada mana-mana atlet dan komuniti menerusi penganjuran kejohanan secara fizikal meletakkan saingan terarah kepada maya.

"Bagaimanapun kami masih menunggu cadangan kejohanan di Kuching samada boleh dianjurkan awal tahun depan. Kejohanan skala kecil mungkin boleh dianjurkan oleh MPM namun perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 40 atlet paralimpik Melaka di Dewan Komuniti Paya Rumput hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Negeri Melaka (Pesron), Abd Rahim Abdul Kadir.

Sementara itu, atlet paralimpik bola tampar Melaka, Ali Nordin Subuh ,55 berkata, sumbangan berkenaan amat dihargai terutama inisiatif Presiden OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi bersama MPM dan kumpulan Jakel.

Katanya, keprihatinan ketika atlet para terkesan dengan pandemik Covid-19 amat bermakna buat mereka semua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 9:32 PM