MEGAT (tiga kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada Polis  Kontinjen Selangor yang diwakili Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO Syazwan Msar
MEGAT (tiga kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada Polis Kontinjen Selangor yang diwakili Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO Syazwan Msar
Syazwan Msar


ATLET paralimpik memerlukan lebih perhatian berbanding lain terutama membabitkan kesihatan seterusnya tidak sesuai menyertai acara sukan ketika gelombang wabak Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, penangguhan Temasya Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo boleh dikatakan ‘menyelamatkan’ nyawa atlet daripada terdedah kepada risiko penularan wabak terbabit.

Beliau berkata, sejak daripada awal lagi tidak bersetuju untuk menghantar atlet ke temasya empat tahun sekali itu dan berharap penangguhan terbabit boleh memberi ruang dan masa kepada negara lain lebih bersedia.

“Ketika ini kita ‘berperang’ melawan wabak Covid-19 yang sudah merebak hampir seluruh dunia sekali gus tidak sesuai jika temasya berkenaan tetap dijalankan ketika situasi masih lagi genting.

“Oleh itu, saya bersetuju temasya terbabit ditunda demi keselamatan atlet dan pegawai sukan kerana seperti sedia maklum atlet paralimpik ini memerlukan lebih perhatian membabitkan rawatan,” katanya, ketika ditemui selepas menyerahkan bekalan makanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Megat yang juga Ahli Lembaga Yayasan Usahawan Negara mengagihkan lebih 1,000 pek makanan kepada pegawai dan anggota Polis Kontinjen Selangor yang bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan ke tahun depan berikutan pandemik global Covid-19.

Keputusan itu dipersetujui selepas perbualan telefon antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Presiden IOC, Thomas Bach mengambil kira krisis global semasa dan maklumat yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu Megat mengesahkan tiada atlet paralimpik yang didapati positif Covid-19 setakat ini namun pemantauan rapi tetap dilakukan kepada mereka bagi memastikan tidak dijangkiti penyakit terbabit.

“Setakat ini, hanya seorang saja atlet paralimpik yang dikuarantin berikutan mempunyai kontak dengan atlet tukul besi Jackie Wong namun dia sudah disahkan negative Covid-19.

“Atlet lain pula sudah pulang ke rumah masing-masing dan mengikut segala arahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) berkaitan latihan ketika arahan PKP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:28 PM