SKUAD hoki negara berpeluang mara ke Piala Dunia 2022/2023.
SKUAD hoki negara berpeluang mara ke Piala Dunia 2022/2023.
Saiful Affendy Sapran


PENGUMUMAN Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai slot kelayakan secara automatik bagi beraksi di Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023 Wanita dan Lelaki dianggap sesuatu cukup positif oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

FIH memperuntukkan tiga slot kepada pasukan daripada Asia bagi kategori lelaki termasuk satu slot yang sudah diisi pasukan India selaku tuan rumah kejohanan dan dua slot bagi kategori wanita.

Ia sekali gus menyaksikan Kejohanan Piala Asia yang dijangka berlangsung pada 2021 tidak hanya menjadi perlawanan bagi merebut piala itu sahaja tetapi ia turut menjadi medan pasukan di Asia menempah tempat lebih awal ke Piala Dunia 2022/2023.

Timbalan Presiden MHC, Prof Datuk Dr S Shamala menerusi satu kenyataan memuji tindakan awal FIH untuk memaklumkan kepada semua pasukan mengenai cara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia dan kini skuad negara perlu menumpukan perhatian menghadapi lawan daripada Asia bagi perebutan slot itu.

"Pada pandangan saya FIH mengambil satu langkah cukup baik dengan melihat serius implikasi pandemik Covid-19 kepada seluruh negara kerana proses kelayakan itu cukup penting untuk kejohanan Piala Dunia.

"MHC menyambut baik pemakluman awal dibuat FIH mengenai cara kelayakan dan penambahan slot untuk layak secara automatik dengan memberikan tiga slot kepada pasukan di benua Asia bagi kategori lelaki serta dua slot kepada pasukan wanita.

"Penambahan slot itu cukup bagus kepada pasukan daripada Asia memandangkan tuan rumah bagi kategori lelaki khususnya adalah pasukan daripada Asia iaitu India.

"Apabila penambahan slot diumumkan, kini kami boleh merangka persiapan dengan terperinci bagi menghadapi pasukan daripada Asia berbanding dengan kami tidak mengetahui pasukan mana perlu dihadapi.

"Memandangkan impak pandemik Covid-19 memberikan kesan kepada keupayaan pasukan untuk menjelajah ke negara lain bagi melakukan persiapan, kini kami boleh memberikan fokus untuk berhadapan dengan pasukan daripada Asia dan ia sesuatu yang cukup baik," katanya.

Sebelum ini hanya enam slot automatik untuk beraksi di Kejohanan FIH Piala Dunia bagi kategori lelaki dan wanita diperuntukkan oleh FIH di mana tuan rumah Piala Dunia dan juara Kejohanan Kontinental sahaja layak mendapat tempat secara automatik.

Namun menerusi format baharu yang diumumkan FIH semalam, lima Juara Kejohanan Kontinental 2021 bersama lima lagi negara yang berada di ranking tertinggi Kejohanan Kontinental 2021 layak untuk mendapat slot automatik bersama tuan rumah bagi Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023.

Sementara lima lagi slot berbaki untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan beraksi di pentas Piala Dunia 2022/2023 akan ditentukan menerusi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:18 PM