AKSI skuad wanita ketika bertemu MBPJ Boys pada perlawanan persahabatan. FOTO MHC
AKSI skuad wanita ketika bertemu MBPJ Boys pada perlawanan persahabatan. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak memberi sebarang alasan dan sentiasa bersemangat di dalam latihan ternyata memberi kelegaan buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tatkala Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan sedang menjalani latihan sebelum beraksi di kejohanan sulung di Piala Asia Wanita di Muscat, Oman.

Menurut Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala, beliau bangga dengan semangat yang dipamerkan oleh anak buah Nasihin Nubli Ibrahim itu walaupun terpaksa mengharungi banyak kekangan sehingga sekarang.

"Walaupun hanya mempunyai tempoh 10 hingga 12 hari ke sebelum ke Muscat dan banyak menjalani kuarantin, pemain serta jurulatih menunjukkan sikap yang bagus dengan tidak memberikan sebarang alasan," katanya.

Ujar Shamala, skuad berkenaan tidak pernah pun menyuarakan pandangan tidak mahu bertanding atau memberi alasan tidak berapa bersedia malah terus menjalani latihan seperti biasa.

"Mereka sedar bahawa Piala Asia akan menjadi kayu pengukur yang baik kerana skuad projek ini adalah untuk 2026. Kita pun (MHC) mahu pastikan mereka berada di laluan yang betul tahun ini kerana ada beberapa kejohanan penting terutamanya Sukan Asia.

"Kita juga mahu melihat pemetaan dalam tempoh lima tahun ini kerana ia agak penting bagi mengukur di mana kita berada sekarang dengan barisan pemain sedia ada," katanya.

Shamala juga berharap pemain muda dalam skuad berkenaan faham sasaran penting dalam tempoh empat tahun ini dan mahu semuanya terus bersemangat.

"Walaupun mereka masih muda tapi mereka akan berdepan pasukan yang sangat kuat seperti India dan Jepun yang menghantar barisan terbaik tanpa sebarang penukaran. Malah negara berkenaan juga baru saja menyertai Sukan Olimpik tahun lalu. Apa pun saya harap yang terbaik dari pemain kita.

"Bagi yang terbaik, bersemangat tinggi dan tidak boleh putus asa jika mencatat kekalahan. Ini adalah satu permainan minda yang tinggi, mereka perlu kuat untuk melaluinya," kata Shamala.

Seramai 20 pemain akan menggalas tugas di kejohanan yang akan membuka tirai pada 21 hingga 28 Januari 2022 ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura sementara Kumpulan B pula menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam Kumpulan A dan B bakal menempah tiket ke separuh akhir dalam kejohanan yang turut menjadi platform kelayakan bagi Kejohanan Piala Dunia Wanita 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:53 PM