Pemain hoki lelaki India meraikan kejayaan memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Pemain hoki lelaki India meraikan kejayaan memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pasukan lelaki India memenangi pingat pertama acara hoki Olimpik dalam tempoh 41 tahun, selepas merangkul gangsa dengan kemenangan dramatik 5-4 ke atas Jerman yang disifatkan Perdana Menteri India, Narendra Modi sebagai detik bersejarah.

Kemenangan pingat di Tokyo cukup penting buat India yang juga bekas pasukan gergasi hoki yang mempunyai rekod membanggakan memenangi lapan emas di Olimpik dalam sukan itu.

Modi mengucapkan tahniah kepada pasukannya itu, yang ketandusan kejayaan Olimpik sejak merangkul emas di temasya sukan di Moscow pada 1980.

"Detik bersejarah! Hari yang pasti di kenang oleh setiap rakyat India," katanya menerusi Twitter selepas pasukan itu bangkit dari ketinggalan sebelum melakar kemenangan.

"Tahniah kepada pasukan hoki lelaki kita kerana membawa pulang pingat gangsa.

"Dengan pencapaian ini, mereka telah merakamkan imaginasi hebat buat seluruh negara, terutama kepada generasi muda - India sangat berbangga dengan pasukan hoki kita."

Sementara itu, penjaga gol pasukan, PR Sreejesh berkata kejayaan berkenaan mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terbabit dalam sukan hoki seterusnya meneruskan kejayaan pasukan seperti mana kriket mengubah landskap sukan dunia.

"Ia adalah kelahiran semula. Inilah dia. Ia sudah 41 tahun," katanya.

"Pada 1980 kami menang pingat terakhir dan selepas itu, tiada. Ini memberikan kami suntikan semangat malah kepada generasi muda untuk memilih hoki dan bermain dalam sukan ini. Sukan ini mempunyai permainan yang menarik."

India ketinggalan 3-1 pada awal saingan namun mengubah kedudukan dalam babak terakhir menjadikan 5-3, sebelum gol keempat Jerman hadir di hujung babak perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:50 PM