WAN Jamak mahu FAM usah harap semata-mata kudrat Cheng Hoe untuk menerajui pasukan hingga ke Piala Asia. FOTO/NSTP
WAN Jamak mahu FAM usah harap semata-mata kudrat Cheng Hoe untuk menerajui pasukan hingga ke Piala Asia. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: "Bukan mudah tetapi tidak mustahil untuk Malaysia beraksi di Piala Asia 2023," kata bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.

Itu reaksi Wan Jamak ketika mengulas mengenai kemampuan skuad Harimau Malaya untuk beraksi di Piala Asia selepas kali terakhir membuat penampilan di pentas tertinggi Asia itu pada 2007 dengan tiket selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, Wan Jamak mengakui setiap kejayaan tidak akan datang 'bergolek', sebaliknya semua pihak khususnya pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu turut berusaha keras bagi merealisasikan harapan Malaysia untuk bersaing pada kejohanan terbabit.

"Ia bukan hanya mengharapkan Cheng Hoe semata-mata namun pasukan Liga M perlu memainkan peranan untuk membangunkan pemain yang terbaik. Pemain perlu membiasakan diri dengan corak permainan dan falsafah yang diterapkan dalam skuad kebangsaan.

"Hasrat itu boleh dicapai asalkan dalam tempoh dua tahun ini, Cheng Hoe dapat mengekalkan momentum dan membentuk pasukan yang terbaik untuk mengharungi perlawanan antarabangsa.

"Berdasarkan peningkatan dan corak permainan menghiburkan yang ditunjukkan barisan pemain ketika ini, saya optimis kita berpeluang cerah untuk ke Piala Asia 2023 dan juga menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020," katanya.

Semalam, dua tugas besar menanti Cheng Hoe selepas jurulatih berusia 51 tahun itu terus diberikan kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Harimau Malaya bagi tempoh dua tahun lagi.

Selepas dikekalkan secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK), Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui cabaran baharu bakal digalas oleh Cheng Hoe apabila badan induk itu meletakkan indeks prestasi utama (KPI) yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"KPI lebih tinggi diletakkan iaitu mara ke final Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020 dan juga layak ke saingan Piala Asia 2023. Ini bukan setakat KPI kepada Cheng Hoe tetapi turut menjadi keutamaan kepada FAM sendiri," kata Yusoff.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia 2007, Malaysia sekadar menamatkan saingan di tangga tercorot apabila tewas 1-5 di tangan China, 0-5 kepada Uzbekistan dan 0-2 di tangan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 5:39 PM