NAFUZI mahukan peningkatan prestasi pada setiap aksi pramusim. FOTO KDA FC
NAFUZI mahukan peningkatan prestasi pada setiap aksi pramusim. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap mencapai objektif yang dimahukan meskipun menamatkan saingan pramusim empat penjuru Piala Agarbomb Challenge yang berlangsung di Kuala Terengganu pada 17 hingga 21 April lalu di tempat ketiga.

Pada saingan yang diungguli Terengganu FC selaku juara, skuad Sang Kenari meraih satu kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC II, seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) dan tewas pada aksi terakhir 0-3 kepada Penang FC.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, skuadnya tetap mencapai objektif yang dimahukan meskipun terpaksa turun beraksi tanpa dua tonggak utama iaitu pemain sayap, Sony Norde dan juga bek kanan, Wan Amirul Afiq.

"Tidak merisaukan, memang kita nak menang semuanya, tapi ada objektif lain yang sedang difokuskan. Objektif yang saya nak tengok tu ada dalam aksi-aksi berkenaan dan hanya saya yang tahu apa 'benda' yang saya mahukan itu, dan akan merisaukan saya kalau tak ada 'benda' itu.

"Setakat tiga perlawanan pramusim yang kami lalui ini, saya lihat banyak perkara yang sudah ditingkatkan melalui tiga aksi di Terengganu lalu.

"Dengan segala perancangan berjalan lancar, saya juga berharap objektif seterusnya yang saya mahukan terus dicapai melaui aksi-aksi pramusim seterusnya.

"Cuma dua pemain tidak dapat beraksi iaitu Wan Amirul Afiq dan Sony Norde yang masih berada dalam tahap pemulihan akibat kecederaan dan kami memberi peluang kepada semua pemain beraksi untuk meningkatkan persefahaman dalam membentuk keserasian," katanya.

Nafuzi juga berkata, pihaknya akan terus menilai tahap perkembangan serta peningkatan pasukan berdasarkan persembahan yang pemain tunjukkan dalam setiap perlawanan pramusim.

Untuk aksi pramusim seterusnya, KDA FC bakal menguji skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) kendalian ketua jurulatih, Azzmi Aziz yang berkunjung ke Stadium Darul Aman pada malam ini sebagai persiapan sebelum menghadapi Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:14 PM