JUAN Torres Garrido. -FOTO FAM
JUAN Torres Garrido. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kemungkinan besar mengikut jejak abang mereka dengan pulang awal di kejohanan Piala Asia B-23 selepas tewas 0-2 kepada Vietnam malam tadi.

Harapan menggunung diletakkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan menentang naib juara Piala Asia B-23 itu, namun skuad kendalian Juan Torres Garrido gagal manfaat setiap peluang sekali gus aksi berakhir tanpa sebarang mata.

Malah, penyakit lama terus menghantui pasukan apabila terus 'sedekah' penalti kepada lawan menyebabkan skuad muda negara itu hilang arah untuk memenangi perlawanan terbabit.

Menurut Garrido, ketika ini tiada apa yang boleh diungkapkan apabila barisan anak buahnya terus 'dihambat' pasukan lain dalam saingan kumpulan D Piala Asia B -23.

Katanya, barisan pemain mempamerkan aksi lebih baik berbanding menentang Uzbekistan tempoh hari namun situasi terbabit belum cukup bagus untuk menumpaskan Vietnam.

"Apa yang saya katakan ketika ini akan dianggap sebagai alasan. Kita mempunyai deretan peluang namun tetap gagal untuk menterjemahkannya kepada jaringan.

"Sudah pastinya, kita tidak gembira dengan keputusan terbabit namun secara keseluruhan persembahan pemain menunjukkan peningkatan.

"Kesilapan individu (sepakan penalti) terus berulang. Mereka masih muda namun kesilapan seperti itu buat ramai tidak gembira," katanya, dalam sidang media selepas perlawanan menentang Vietnam.

Kempen skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Piala Asia B-23 berakhir lebih awal selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan D apabila tumbang 0-2 di tangan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar malam tadi.

Kekalahan itu yang kedua selepas turut tewas 0-2 kepada Uzbekistan sekali gus kekal tanpa sebarang mata

Malah, kegagalan bangkit memburu kemenangan turut menyaksikan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini terus kempunan selepas kali terakhir layak pada temasya 1980 lalu.

Gol skuad bimbingan Hoang Anh Tuan diraih menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang pada minit 39 dan penalti yang disempurnakan Vo Hoang Minh Khoa pada minit ke-60.

Selepas ini, pasukan negara akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Kuwait di Stadium Al Janoub, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:09 PM