NAIB Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed. -FOTO Arkib
NAIB Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed. -FOTO Arkib
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Satu kajian semula perlu dilakukan khususnya dalam mengesan kelompongan sistem pembangunan bola sepak di negara ini.

Kekalahan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di tangan Uzbekistan ketika tiga lagi pasukan dari rantau Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia yang turut dibarisi pemain B-23 berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan seperti Iraq, Kuwait dan Australia di Piala Asia B-23 di Qatar ketika ini.

Malah, teguran Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang mahukan semua pihak tidak mengabaikan bakat-bakat di kawasan pedalaman seolah menghadirkan kelompongan yang perlu diperbaiki segera dalam sistem pembangunan di negara ini.

Memang benar Malaysia sudah mempunyai sebuah akademi bola sepak yang bertaraf antarabangsa seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang namun keputusan hambar diraih serta kegagalan melahirkan pemain muda yang berkualiti perlu diambil serius.

Menurut pandangan jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin, beliau secara peribadi melihat elemen 'Tournament Development Oriented' kini semakin menjadi-jadi di seluruh negara.

Akibatnya, Malaysia hanya melahirkan pemain muda yang disiapkan untuk memasuki pertandingan semata-mata, sementara aspek teknikal individu diabaikan sekali gus melahirkan generasi yang tidak berkualiti.

"Kita ramai pemain pada hari ini, tapi tak ada kualiti. Bermakna pemain-pemain yang datang dari program NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) ke, AMD ke ataupun akademi-akademi sedia ada, semuanya hanya dapat lahirkan pemain tapi kita tak dapat lahirkan kualiti.

"Sebab apa, sebab proses pembangunan kita hari ini adalah 'Tournament Development Oriented' sahaja...kerana terlalu banyak pertandingan, jadi pemain pemain ini macam dipaksa dalam perlawanan tapi tidak dibentuk dalam sistem latihan yang sistematik dan hanya ditekan melalui perlawanan.

"Asyik main perlawanan, perlawanan dan perlawanan, akhirnya pemain itu hanya jadi pemain bola saja, tapi tak ada kualiti. Jadi kalau proses pembangunan itu diteruskan begini, kita akan ada masalah di atas terutamanya untuk pasukan kebangsaan, kita akan ada 'problem'," katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya lagi, semua pihak termasuk Persatuan Bolasepak Negeri (FA), kelab-kelab dan akademi bola sepak perlu berubah dengan memberi penekanan lebih kepada aspek asas permainan yang kuat.

"Adakah kita berpuas hati atau tak dengan 'Style' pembangunan permainan yang ada dalam negara kita ini. Kita tak boleh tuding jari kepada AMD saja.

"Di seluruh negara sekarang ini, saya lihat sistem pembangunan itu dalam bentuk pertandingan semata-mata. Pemain jadi bagus hanya untuk pertandingan, salah dah tu.

"Kalau kita bagi semula kepada FA sekali pun, kalau mereka terus dengan tabiat buat pertandingan jelah senang, dengan pertandingan kita boleh tengok pemain bagi saya ia salah juga.

"Kenapa dulu kita dapat lahirkan pemain berkualiti. Contoh dulu, ada kem bola sepak Milo. Selepas berlatih tiga hingga empat bulan, baru ada satu pertandingan.

"Itupun di peringkat daerah, jadi dari situ barulah masuk ke negeri. Maksudnya proses untuk kita main Milo itu pun susah, di mana tapisan yang sangat ketat dibuat.

"Maknanya hanya pemain berkualiti saja yang akan terpilih. Tapi hari ini, siapa-siapa saja boleh masuk pertandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:49 PM