KLOPP yakin Liverpool akan bangkit semula apabila menentang Palace. FOTO AFP
KLOPP yakin Liverpool akan bangkit semula apabila menentang Palace. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjanjikan reaksi berbeza daripada pasukannya yang tewas mengejut 0-3 pada aksi suku akhir Liga Europa di tangan Atalanta apabila mereka melayan kunjungan Crystal Palace dalam pertembungan Liga Perdana di Anfield, esok.

Gianluca Scamacca menjaringkan gol di pada setiap babak sebelum Mario Pasalic melengkapkan kemenangan mengagumkan untuk kelab Itali itu pada aksi suku akhir pertama semalam, sekali gus menyaksikan Liverpool mengalami kekalahan paling berat di tempat sendiri dalam saingan Eropah.

Liverpool akan berusaha untuk memulihkan defisit itu dalam perlawanan kedua di Itali minggu depan dan mengekalkan harapan mereka untuk menjulang kejuaraan Eropah, namun mereka juga perlu memikirkan pertemuan dengan Palace, esok.

Kelab Merseyside itu menduduki tempat kedua, berkongsi 71 mata dengan Arsenal dan satu mata di depan Manchester City ketika berbaki tujuh perlawanan musim ini.

"Perkara yang baik mengenai prestasi yang sangat buruk ialah anda boleh beraksi dengan lebih baik. Kita harus bermula dari situ. Saya beritahu pemain supaya bangkit semula, tiada siapa yang akan tidur lena," kata Klopp kepada pemberita.

"Kami akan melakukan persiapan rapi. Ya, kami perlu menunjukkan reaksi. Sudah pasti fokus 100 peratus.

"Ini bukan kali pertama dalam hidup saya tewas dalam perlawanan bola sepak," katanya lagi.

Klopp melakukan enam pertukaran ketika tewas kepada Atalanta manakala Trent Alexander-Arnold, Stefan Bajcetic dan Diogo Jota yang cedera baru-baru ini, diletakkan di bangku simpanan.

Pengendali dari Jerman itu berkata, pemain yang kembali pulih daripada kecederaan belum lagi mampu untuk kembali ke tahap kecergasan penuh.

"Pekerjaan saya bukanlah yang paling mudah di dunia, bukan juga yang paling sukar. Apabila anda mempunyai pemain, anda perlu memastikan dapat mengumpulkan mereka di atas padang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:47 AM