MILITAO (kiri) berlatih dengan pemain tengah, Jude Bellingham menjelang perlawanan menentang Athletic. FOTO AFP
MILITAO (kiri) berlatih dengan pemain tengah, Jude Bellingham menjelang perlawanan menentang Athletic. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengesahkan pemain pertahanan, Eder Militao kembali cergas dan boleh diturunkan menentang Athletic Bilbao, awal pagi Isnin ini.

Bek tengah dari Brazil itu tersisih selama tujuh bulan selepas cedera ligamen jangka panjang ketika menentang Athletic pada perlawanan pertama musim ini.

Militao dijangka berada di bangku simpanan pada perlawanan di Santiago Bernabeu itu apabila pendahulu liga itu berdepan skuad Ernesto Valverde.

"Militao akan kembali esok dan itu adalah berita paling penting," kata Ancelotti pada sidang media.

"Dia boleh diturunkan, belum mencapai 100 peratus kerana sudah lama tidak bermain bola sepak, tetapi sudah pulih dengan baik daripada kecederaannya.

"Dia cedera pada perlawanan pertama menentang Athletic dan dia kembali untuk perlawanan timbal balik, ini berita gembira untuk kami."

Militao, 26, akan memberikan pilihan kepada Ancelotti apabila melayan Manchester City pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), 9 April ini.

Selepas seorang lagi tonggak benteng, David Alaba turut cedera, Madrid mengharungi beberapa bulan terakhir dengan hanya dua bek tengah sejati iaitu Nacho Fernandez dan Antonio Rudiger.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 10:19 PM