MOHD Nidzam Jamil. FOTO AIZUDDIN SAAD
MOHD Nidzam Jamil. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Teka teki pengendali Selangor FC yang baharu akhirnya terjawab apabila penolong jurulatih, Nidzam Jamil dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih.

Pengumuman itu dibuat Red Giants di laman sosial kelab itu hari ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai calon jurulatih baharu pasukan itu.

Nidzam dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang membuat kejutan meletakkan jawatan awal bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pemilihan Nidzam dibuat secara teliti dan bekas pertahanan negara itu dilihat calon paling sesuai mengemudi pasukan itu.

"Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan yang telah ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini.

"Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain SFC.

"Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025," katanya.

Untuk rekod, Nidzam dilahirkan dan membesar di pekan Kajang dan pernah beraksi untuk pasukan Selangor dari musim 2000-2004.

Antara pencapaian beliau sebagai pemain Gergasi Merah adalah kejayaan menjulang Piala FA 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada tahun 2002.

Selain rekod cemerlangnya sebagai seorang pemain, beliau juga mencipta rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak dari 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC.

Pada November 2021, Nidzam secara rasmi kembali menabur bakti kepada skuad Merah Kuning selepas bersetuju untuk dilantik sebagai penolong jurulatih bagi membantu Michael Feichtenbeiner.

Pada musim sama, beliau juga dilantik sebagai jurulatih 'interim' untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai penolong jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Cheng Hoe pada ketika itu.

Selain mengharungi saingan Liga Malaysia, tugas berat turut menanti Nidzam bagi memacu pasukan mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 4:05 PM