Keputusan undian suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Keputusan undian suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Paris: Berikut adalah undian peringkat suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) yang dijalankan di ibu pejabat UEFA dekat Nyon, Switzerland sebentar tadi.

Bagi aksi suku akhir pertama membabitkan juara bertahan, Chelsea akan berdepan gergasi Sepanyol, Real Madrid manakala satu lagi pencabar di Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City akan turut berdepan wakil Sepanyol, Atletico Madrid.

Kelab Sepanyol, Villarreal berdepan cabaran getir menentang gergasi Jerman, Bayern Munich manakala wakil Portugal, Benfica akan bertemu kelab EPL, Liverpool dalam aksi suku akhir.

Untuk aksi separuh akhir pemenang antara Manchester City atau Atletico Madrid akan berdepan lawan antara Chelsea atau Real Madrid.

Benfica atau Liverpool pula berpeluang memburu satu slot ke separuh akhir dan akan berdepan pemenang antara Villarreal atau Bayern Munich.

Perlawanan pertama saingan suku akhir akan berlangsung pada 5 dan 6 April manakala perlawanan kedua pada 12 dan 13 April .

Aksi perlawanan pertama separuh akhir akan diadakan pada 26 dan 27 April sementara perlawanan kedua pada 3 dan 4 Mei.

Saingan final UCL yang berlangsung di Stade de France dekat Paris pula dijadualkan pada 28 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:42 PM