ZAQUAN tidak lagi bersama NSFC.
ZAQUAN tidak lagi bersama NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas kapten Harimau Malaya dan Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak belum menetapkan hala tujunya selepas kontraknya tidak disambung NSFC.

Selepas dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia (Liga M), penyerang berusia 36 tahun itu membayangkan kemungkinan akan menceburi bidang kejurulatihan, bagi meneruskan karier dan minatnya dalam bola sepak.

Menerusi satu kenyataan, Zaquan yang mula mewakili Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2004 di Seremban, seolah-olah meluahkan rasa terkilan berhubung penamatan kontraknya dengan Negeri Sembilan.

"Semalam iaitu malam Ramadan pertama, saya hanya menerima sekeping surat, kontrak saya tidak disambung. Saya reda, mungkin rezeki saya sampai di sini. Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas.

"Namun, saya terima dengan hati terbuka bahawa rezeki saya setakat di sini bersama dengan NSFC," katanya.

Mengenai perancangan seterusnya, pemain yang pernah beraksi dalam banyak pasukan termasuk Johor Darul Ta`zim (JDT), Kedah Darul Aman Fc, Perak FC dan Kuala Lumpur City FC itu belum nenetapkan hala tuju sebenar namun tidak menolak kemungkinan akan terbabit dalam bidang kejurulatihan.

"Saya lahir dan mula bermain bola sepak bersama Negeri Sembilan, seboleh-bolehnya mahu mengakhiri karier bola sepak juga bersama pasukan Negeri Sembilan.

"Perancangan asal mahu terus berkhidmat dalam bidang kejurulatihan, tapi nampaknya rezeki saya sampai di sini, mungkin ini pengakhiran saya sebagai pemain bola sepak profesional," kata Zaquan.

Terdahulu, NSFC dalam satu kenyataan memaklumkan Zaquan tidak akan bersama Negeri Sembilan FC bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini dan sepanjang bersama skuad Hobin Jang Hobin, dia membantu pasukan memenangi Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Musim lalu, Zaquan yang dilantik sebagai kapten pasukan tidak dapat beraksi sepenuhnya sepanjang saingan Liga M kerana dibelenggu masalah kecederaan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 3:19 PM