Oleh Lokman Zainal Abidin

Palembang: Malaysia kempunan tiket final bola sepak Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 apabila tewas 2-4 kepada tuan rumah, Indonesia di Gelora Sriwijaya, malam tadi.

Skuad kendalian jurulatih Azuan Aziz itu wajar menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengambil kesempatan ketika Indonesia beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua permainan.

Pada hujung babak kedua, seorang lagi pemain tuan rumah, Sufra Lestusen dilayangkan kad merah menyebabkan Garuda bermain dengan sembilan orang.

Indonesia memulakan permainan dengan garang apabila melancarkan serangan bertali arus sedangkan anak buah Azuan masih terkial-kial mencari rentak.

Indonesia mendahului pada minit ke-28 menerusi pemain pertahanan Novrianto yang merembat deras sepakan percuma dari jarak 35 meter menewaskan penjaga gol Mohd Hafiz Abu Bakar.

Kesilapan Mohd Hafiz terus dihukum tiga minit kemudian apabila gagal menangkap kemas bola yang dilambung penyerang tuan rumah Iksan Pratama dan Dede Sulaiman menjaringkan gol kedua.

Dua minit sebelum tamat babak pertama, Indonesia terpaksa bermain 10 orang apabila Muhamad Fahri dilayangkan kad merah kerana mengasari Mohamad Hakim Zainal.

Bermula babak kedua, Malaysia menggandakan asakan dan usaha mereka mula menampakkan hasil apabila Mohd Raslam merapatkan kedudukan 2-1 m-65 hasil hantaran lintang Ibrahim Abd Azis.

Begitupun, Indonesia menambah kelebihan apabila Dede yang menerima hantaran jauh Hari Hamdani, bijak mengecewakan Mohd Hafiz m-69 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Firman Septian melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi gol keempat m-80.

Kapten Malaysia, Muhammad Khairul Akhyar menjaringkan gol kedua pada waktu kecederaan.

Indonesia bakal bertemu Thailand pada perlawanan akhir esok selepas skuad Gajah Perang itu menang 3-0 ke atas Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:08 AM