PEMAIN Bahrain meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan.
PEMAIN Bahrain meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan.
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


SKUAD Harimau Malaya perlu berjaga-jaga menjelang aksi kedua Kumpulan E menentang Bahrain apabila pasukan lawan turut 'bernafsu' memburu tiga mata penuh.

Ia dilaungkan pengendali Bahrain, Juan Antonio Pizzi yang mengakui peluang untuk anak buahnya bangkit selepas tumbang di tangan Korea Selatan adalah dengan menundukkan Malaysia di Stadium Jassim Bin Hamad, Sabtu ini.

Jelas Pizzi, pemainnya akan mengerah segala kudrat yang ada bagi memburu kemenangan sekali gus membuka peluang layak ke pusingan berikutnya.

"Saya gembira dengan persembahan pemain ketika menentang Korea Selatan. Ia tugas sukar sebagai jurulatih untuk menurunkan pemain terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya fikir pasukan yang dibawa ke sini (Piala Asia) ini adalah himpunan pemain terbaik dalam Liga Bahrain yang berjaya di bawa. Kami ketika ini (selepas kalah kepada Korea Selatan) masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kalah mati.

"Sekarang pasukan perlu fikirkan bagaimana mahu mendapatkan keputusan lebih baik pada perlawanan seterusnya (menentang Malaysia)," kata jurulatih dari Argentina itu.

Kekalahan 0-4 Malaysia kepada Jordan menyaksikan pasukan negara terperosok di tangga tercorot Kumpulan E, dengan Jordan berada di tempat pertama manakala Korea Selatan di kedudukan kedua selepas membenam Bahrain 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 8:09 PM