AKSI Safawi Rasid ketika bertemu Syria. FOTO IHSAN FAM
AKSI Safawi Rasid ketika bertemu Syria. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat pasukan di ranking 91 dunia, Syria dengan 2-2 menghadirkan sinar betapa pasukan negara kendalian Kim Pan-gon mampu melangkah jauh di saingan Piala Asia di Qatar nanti.

Keyakinan itu diluahkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar yang percaya keputusan positif mampu dilakar di bumi Qatar.

Katanya, bukan mudah untuk menentang pasukan di ranking jauh lebih tinggi berbanding skuad negara yang menduduki tangga 130 dunia ketika ini.

Malah katanya, posisi Syria di 91 dunia itu tidak jauh bezanya dengan dua pencabar dalam Kumpulan E iaitu Jordan dan Bahrain, yang hanya dibezakan empat anak tangga dengan masing- masing di kedudukan 87 dan 86 dunia sahaja.

"Kalau ikutkan jurang antara Syria dan dua lawan Malaysia di peringkat kumpulan tidak jauh sangat. Jordan cuma di tangga 87 dan Bahrain 86, jadi kalau kita boleh ikat Syria tak mustahil kita boleh raih keputusan sama atau menang dengan mereka nanti.

SYED YAZID bersama Hamidin
SYED YAZID bersama Hamidin

"Saya percaya pasukan kita sudah bersiap sedia dan kesemua barisan pemain mahu menunjukkan sesuatu. Kita doakan pasukan kita boleh raih keputusan positif apabila turun menentang Jordan dan Bahrain," katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya lagi, usaha gigih barisan pemain dan kejurulatihan disamping sokongan tidak berbelah bagi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan mampu memercikkan sinar kejayaan di sana.

Malah, kehadiran ramai pemain berkualiti yang didominasi barisan tonggak dari Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu beri tentangan hebat kepada lawan termasuk Korea Selatan dalam Kumpulan E itu.

"Gabungan kepimpinan yang hebat bersama Tunku Ismail (pemilik JDT) dan Hamidin, saya lihat bola sepak kita berada pada landasan yang tepat untuk bangkit.

"Kemajuan liga (Liga Malaysia) yang banyak dibantu kehadiran JDT apabila bersaing di ACL (Liga Juara-Juara Asia), akan sedikit sebanyak pengalaman itu dicurahkan pemain JDT di Piala Asia itu nanti," kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 5:03 PM