PEMAIN Harimau Malaya bersorak selepas menewaskan Taiwan 1-0, malam tadi. FOTO FB FAM
PEMAIN Harimau Malaya bersorak selepas menewaskan Taiwan 1-0, malam tadi. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua kemenangan dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membolehkan ranking skuad Harimau Malaya melonjak lebih tinggi dengan jangkaan naik lapan anak tangga di kedudukan 129 dunia.

Pada kedudukan ranking bulan lalu, Malaysia mengisi posisi ke-137 dunia, tetapi turun tiga anak tangga ke-134 selepas tumbang 0-2 di tangan Tajikistan di final Pestabola Merdeka 2023, pertengahan bulan lalu.

Begitupun, kedudukan ranking bakal berubah lagi dengan kenaikan mendadak susulan kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.

Bagaimanapun, kedudukan 129 itu belum rasmi apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) akan mengumumkannya pada Khamis depan selepas perkiraan ranking dibuat membabitkan semua perlawanan antarabangsa.

Dalam aksi Kumpulan D kelayakan Khamis lalu, skuad kendalian Kim Pan-gon menundukkan Kyrgyzstan yang berada di tangga 97 dunia menerusi keputusan 4-3 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rentak sama diteruskan pada aksi kedua apabila menundukkan Taiwan (152 dunia) dengan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei, malam tadi.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya memimpin carta Kumpulan D dengan enam mata, manakala Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan di tangga kedua, ketiga dan keempat.

Lonjakan ranking ini diharap mampu menaikkan motivasi pemain menjelang kempen Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Di Piala Asia itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:14 PM