PEMAIN Harimau Malaya gigih berlatih menjelang perlawanan menentang Oman, awal pagi Jumaat ini. FOTO FB FAM
PEMAIN Harimau Malaya gigih berlatih menjelang perlawanan menentang Oman, awal pagi Jumaat ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Strategi ampuh bakal dijadikan azimat skuad negara menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat, Jumaat ini, dalam usaha menghadirkan kejutan ke atas pasukan Oman.

Menurut pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, barisan kejurulatihan negara tidak henti-henti memerah idea bagi memerangkap lawan.

"Selain daripada kecederaan dan kecergasan permainan, kami kena menyusun sebaiknya cara untuk mengekang pasukan di ranking 80 dunia itu terutama apabila bermain di tempat lawan.

"Barisan kejurulatihan sedang melakukan sebaiknya, menyusun strategi berkesan dan perkara itu sedang diusahakan.

"Kadang-kala ia (strategi) berkesan dan kadang-kala tidak menjadi, namun kami sentiasa mencuba menyediakan strategi, taktikal permainan dan kami akan memberikan sebaik mungkin.

"Paling mustahak pasukan cuba hadiahkan keputusan positif kepada peminat tempatan," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, di Muscat, awal pagi Jumaat ini, dengan masing-masing memburu kemenangan.

Malaysia ketika ini menduduki tangga pertama Kumpulan D hasil dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini, dan tiga mata ke atas Oman bakal mengukuhkan cengkaman pasukan, sekali gus berpeluang cerah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Oman pula kedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata selepas mereka menang ke atas Taiwan, namun kalah kepada Kyrgyzstan pada aksi kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 5:22 PM