HARGA tiket final Piala Malaysia 2023 antara JDT menentang TFC adalah serendah RM50 dan terbahagi kepada empat tier. FOTO FB MFL
HARGA tiket final Piala Malaysia 2023 antara JDT menentang TFC adalah serendah RM50 dan terbahagi kepada empat tier. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember ini adalah serendah RM50.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan, harga tiket final Piala Malaysia musim ini dikekalkan seperti final Piala Malaysia pada musim lalu yang menyaksikan empat kategori tiket akan diagihkan secara sama rata kepada dua finalis iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

"Sama seperti perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini, tiket serendah RM50 dan RM70 dikekalkan untuk kategori General Admission selain Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

"Penyokong JDT dan TFC akan memiliki pilihan dengan penetapan empat 'tier' harga tiket ini.

"Justeru MFL mengharapkan agar mereka dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

"Bagi proses penjualan tiket final Piala Malaysia 2023, MFL menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada pasukan finalis bagi memastikan mereka dapat menjual tiket kepada penyokong dengan sistematik dan sama rata," katanya.

Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan pihak JDT dan TFC dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 5:16 PM