PENJAGA gol TFC II, Nazul Izamil Zulkifli idam sarung jersi skuad kebangsaan. -FOTO TFC
PENJAGA gol TFC II, Nazul Izamil Zulkifli idam sarung jersi skuad kebangsaan. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas cemerlang membantu Terengganu FC II (TFC II) meraih gelaran sulung merangkul trofi Piala MFL minggu lalu, penjaga gol, Nazul Izamil Zulkifli idam untuk menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan.

Pemain kelahiran Kampung Felda Bukit Kuantan berusia 22 tahun itu juga berhasrat untuk beraksi dengan pasukan Liga Super jika mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan.

Bagaimanapun pemain yang memulakan karier awalnya bersama pasukan Belia Pahang pada 2019 sedar perjalanan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan serta pasukan Liga Super berliku selain perlu bersaing dengan ramai penjaga gol yang hebat.

Namun jelasnya, impian itu tidak pernah padam dalam dirinya selain dia tidak akan berputus asa dalam merealisasikan misinya itu selepas musim pertamanya bersama TFC II berakhir dengan noktah kegembiraan.

"Saya masih belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat saya.

"Tapi saya mahu fokus dengan pasukan TFC II terlebih dahulu dalam misi mengekalkan kejuaraan trofi itu pada musim depan, lagipun saya masih berbaki kontrak selama setahun lagi," katanya yang menjadikan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas sebagai idolanya.

Sepanjang musim ini daripada 19 penampilan bersama skuad The Turtles itu, pintu gol yang dikawal Nazul hanya bolos sebanyak 12 kali sekali gus menyaksikan dia menjadi penjaga gol yang paling sedikit melepaskan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:01 PM