NEYMAR bersama Biancardi. FOTO AGENSI
NEYMAR bersama Biancardi. FOTO AGENSI
Agensi

London: Sekumpulan perompak memecah masuk rumah teman wanita bintang Brazil, Neymar dan mengikat ibu bapanya sebelum keluar dengan membawa barangan mewah.

Model, Bruna Biancardi, yang baru-baru ini melahirkan bayi perempuan hasil hubungannya bersama Neymar, berkongsi detik mendebarkan itu di media sosial.

Rumah ibu bapanya diserbu pada awal pagi Selasa oleh sekumpulan pencuri.

Seorang lelaki berusia 20 tahun, dipercayai salah seorang daripada kumpulan yang melakukan rompakan itu, tinggal di blok yang sama dengan mangsa dan sudah ditahan.

Perompak itu menceroboh masuk ke rumah rumah keluarga Biancardi, yang berada dalam komuniti berpagar, sekitar jam 3 pagi.

Bagaimanapun Neymar serta Biancardi tidak berada di rumah berkenaan ketika kejadian.

Ibu bapanya yang berusia awal 50-an, diikat sambil perompak menggeledah peti simpanan mereka.

Selepas mendapati tiada apa-apa yang berharga, mereka mensasarkan barangan mewah seperti beg, jam tangan dan barang kemas.

"Pagi ini mereka merompak rumah saya dan mengikat keluarga saya. Saya, Mavie dan adik saya tidak lagi tinggal di sana. Syukur semua selamat. Harta boleh dicari.

"Perkara paling penting ialah semua orang selamat dan mereka yang terbabit ditemui. Terima kasih tuhan kerana menjaga kami dan melindungi kami daripada kejahatan. Amin," kata Biancardi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 12:47 PM