XAVI pertaruhkan pemain remaja menjelang pertembungan menentang Real Madrid. -FOTO AFP
XAVI pertaruhkan pemain remaja menjelang pertembungan menentang Real Madrid. -FOTO AFP
AFP

Barcelona: Juara La Liga, Barcelona yang akan turun berdepan Real Madrid dalam pertembungan Clasico pertama musim ini esok terpaksa bergantung harap kepada pemain dari akademi remaja, La Masia.

Krisis kecederaan yang melanda kelab Catalan itu menyebabkan mereka akan turun tanpa beberapa pemain utama membabitkan bahagian pertahanan, tengah dan serangan.

Hujung minggu lalu, penyerang berusia 17 tahun Marc Guiu meletakkan Barcelona di kedudukan ketiga liga dan kini satu mata di belakang pendahulu Real Madrid apabila dia meledakkan gol hanya 33 saat dalam penampilan sulungnya.

Manakala Lamine Yamal dan Fermin Lopez berjaya membantu pasukan itu melakarkan keputusan seri ketika menentang Granada dan Real Mallorca.

Barca sudahpun menampilkan beberapa pemain muda yang sebelum ini menghabiskan masa bersama kelab di peringkat remaja dalam skuad utama, termasuk pemain tengah Gavi dan pemain pertahanan Alejandro Balde dan Ronald Araujo, tetapi situasi semasa memburukkan lagi kebergantungan Barcelona barisan pemain remaja.

Robert Lewandowski mengalami kecederaan, Frenkie de Jong dan Raphinha berjuang untuk kembali di tahap terbaik di Stadium Olimpik, dengan Jules Kounde, Pedri dan Sergi Roberto mungkin akan terlepas aksi.

Bagaimanapun masalah kecederaan turut di alami Real Madrid namun boleh menarik nafas lega apabila pemain pertahanan Nacho Fernandez mungkin akan dibenarkan bermain selepas hukuman penggantungan tiga perlawanan kerana terjahan berbahaya dipendekkan kepada dua.

"Kami berada dalam situasi yang mana kami perlu bertaruh pada pemain yang kami ada dan mereka sudah bersedia," kata jurulatih Barca Xavi.

"Apabila keadaan tidak berjalan lancar, anda perlu menggandakan pertaruhan, kami perlu bertaruh pada pemain muda, tempatan. Saya lihat mereka teruja."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 7:52 AM