Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jenazah legenda bola sepak negara, Harun Jusoh, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk pada jam 9.30 malam ini.

Terdahulu bekas pemain skuad Olimpik negara di Munich 1972 yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.15 petang tadi disolatkan di Masjid Batu Buruk, dekat sini selepas sembahyang Isyak.

Lebih 100 sanak saudara dan kenalan Allahyarham termasuk bekas pemain kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim, Nasaruddin Yasin, Badrul Hisham Abdullah dan Anuar Jusoh hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Anak ketiga Allahyarham, Firdaus, 40, berkata, tahap kesihatan bapanya merosot sejak tiga hari lalu.

"Pagi tadi arwah bapa masih bercakap walaupun sejak tiga hari lalu hanya bergantung kepada susu, namun bapa tidak pesan apa-apa.

"Bagaimanapun pada sebelah petang tahap kesihatan bapa semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir, kami reda dengan pemergian bapa tercinta," katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian.

Terdahulu bekas pemain Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Che Kundur, Batu Buruk selepas bertarung nyawa sejak lima tahun lalu akibat radang sendi.

Sepanjang kariernya, Allahyarham pernah beraksi bersama pemain kebangsaan termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari, Ali Bakar, Abdullah Ali, Datuk Soh Chin Aun, R Arumugan, Datuk Santokh Singh dan Shukor Salleh.

Allahyarham pernah mencipta sensasi ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan menewaskan Arsenal 2-0 dan 1-1 dalam dua aksi persahabatan pada Mei 1975.

Selain itu Allahyarham juga pernah mewakili negara dalam temasya Sukan Sea Rangoon, Myanmar 1969, Sukan Asia Tehran 1974 (raih gangsa) dan Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia tarik diri.

AHLI keluarga yang hadir semasa pengebumian Harun, 75 yang meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk. FOTO GHAZALI KORI
AHLI keluarga yang hadir semasa pengebumian Harun, 75 yang meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 10:47 PM